Berita Utama

GTA-PN mula bincang idea kerjasama untuk PRU15

Perbincangan masih peringkat awal belum ke tahap rundingan rasmi

BANGI, 25 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Gerakan Tanah Air (GTA) mengesahkan telah mula berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) untuk mencari titik persetujuan menjalankan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerjasama berkenaan boleh dicapai sekiranya kedua-dua pihak sanggup mengetepikan perbezaan pendapat dan tetapkan matlamat bagi menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, buat masa ini kedua-dua pihak sedang mencari persefahaman sebelum rundingan secara rasmi dapat dibuat.

“Ya, GTA dan PN memang ada melakukan perbincangan bagi melihat kemungkinan dapat bekerjasama pada PRU15, namun ia belum sampai ke tahap rundingan rasmi lagi setakat ini.

“Perbincangan masih di peringkat awal yang mana kita masih perlu menentukan konsep gabungan berkenaan dan setakat ini, respon PN adalah positif,” katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Presiden Pejuang berkata, sekiranya persetujuan dapat dicapai, gabungan berkenaan perlu disegerakan berikutan kesuntukan masa dengan penamaan calon PRU15 ditetapkan pada 5 November ini.

“Kita melihat kerjasama ini boleh dibuat dalam bentuk gabungan politik (GTA dan PN), tetapi ia berkemungkinan agak sukar kerana kesuntukan masa.

“Tetapi mungkin boleh dibuat kerjasama dalam menghadapi pilihan raya jika kedua-dua pihak melihat kerosakan bakal dibuat BN dan UMNO sekiranya kembali mendapat kuasa,” katanya seperti dilapor Berita harian, hari ini.

GTA membabitkan kerjasama antara PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Terdahulu, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, pihaknya sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama bersama PN bagi menghadapi PRU15.

Dr Mahathir berkata, pihaknya sedia bekerjasama bersama PN, yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekiranya gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara bertentangan dasar dan prinsip.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button