Berita Utama

PRU15: Bersatu Terengganu minta satu kerusi Parlimen saja

Jamin takkan tuntut kerusi lain jika diberi peluang pimpinan tertinggi PN

BANGI, 25 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu memberi jaminan untuk tidak menuntut kerusi lain sekiranya diberi peluang satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, Bersatu sebelum ini menyatakan hasrat bertanding di dua kerusi Parlimen di negeri ini, iaitu di Hulu Terengganu dan Besut.

Bagaimanapun, pihaknya menyerahkan kepada kepada pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk menentukannya.

“Kita juga tidak akan berkecil hati terhadap sebarang keputusan yang ditetapkan selepas ini. Kita tak berminat nak buat tuntutan di kawasan lain kalau diberikan satu kerusi sahaja.

“Kita hanya bagi pandangan dan PAS bagi pandangan mereka, maka jawatankuasa tertinggi agihan kerusi akan menentukan dan sama-sama bersetuju dengan sebarang keputusan,” katanya.

Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima keputusan pembahagian kerusi di dua kawasan Parlimen berkenaan.

Jelasnya, Bersatu Terengganu sebelum ini mencadangkan penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid sebagai calon bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button