Tiada kata sepakat, maka kerjasama UMNO-PAS tidak kesampaian
Kekal bersama Bersatu, Gerakan atas slogan Perikatan Nasional

BANGI, 25 Rabiulawal 1444H, Sabtu – PAS memberi bayangan tiada kerjasama dengan UMNO akan berlaku menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan tiada kata sepakat yang boleh dicapai sehingga kini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, UMNO kini mendakwa PAS sebagai parti yang tidak berpendirian kerana tidak berpihak kepadanya dan memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) .
“Hakikatnya, PAS tetap dengan pendirian dan tidak akan tinggalkan Bersatu demi kerjasama dengan UMNO.
“Sepatutnya UMNO melihat kerjasama tersebut dalam kerangka yang lebih besar,” katanya seperti dilapor Awani, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, parti itu telah berusaha hampir tiga tahun supaya berlaku penyatuan antara UMNO, PAS dan Bersatu bagi membentuk sebuah gagasan yang kuat dalam menghadapi PRU15, namun impian itu tidak kesampaian.
Beliau menegaskan bahawa PAS adalah parti yang setia dengan rakan, walaupun UMNO menetapkan syarat tertentu yang dianggap tidak munasabah dalam kerjasama berkenaan.
“Walaupun UMNO letak syarat macam tu, bagi kami tak boleh letak syarat demikian. Kalau kita nak penyatuan, kita melihat pada kerangka besar.
“Sebagaimana yang kita tahu, PAS kekal bersama Bersatu, bersama dengan Gerakan untuk menghadapi PRU15 atas slogan Perikatan Nasional,” kata Tuan Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO pasca keputusan pilihan raya umum itu nanti.
Sebelum ini, PAS sebulat suara memutuskan untuk kekal mempertahankan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, meskipun pernah diberi kata dua untuk memilih UMNO.
Keputusan parti itu sekali gus melenyapkan impian agenda penyatuan ummah yang diharapkan berlaku di antara UMNO-Bersatu dan PAS bagi menghadapi PRU15.