Berita Utama

Usah perjudikan lagi masa depan negara untuk PH

PRU15 bukan masa bereksperimen seperti pilihan raya 2018

BANGI, 25 Rabiulawal 1444H, Sabtu – UMNO yakin rakyat tidak akan terpedaya lagi dengan pujukan dan propaganda Pakatan Harapan (PH) yang didakwa bertujuan memanipulasi daya fikiran mereka.

Sebaliknya, majoriti rakyat akan bersikap rasional dengan memilih kestabilan dan kemakmuran, bukan memilih kepentingan politik PH ketika membuat penentuan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pakatan Harapan (PH) pujuk rakyat pilih mereka sebagai kerajaan semula pada PRU15 dan jika prestasi kerajaan PH `ke laut’ mereka bersedia ‘ditendang’ sekali lagi.

“Apakah PH fikir begitu mudah rakyat Malaysia dipermainkan dengan propaganda seperti ini selepas rakyat menyaksikan apa yang terjadi hanya dalam tempoh 22 bulan?” soalnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu sebelum ini yang mengajak rakyat untuk kembali memberi peluang kepada PH dalam mandat pentadbiran negara.

Beliau berkata, sekiranya PH masih gagal memberikan yang terbaik, gabungan itu bersedia untuk ‘ditendang’ rakyat kembali.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan PRU15 bukan lagi masa bereksperimen seperti mana yang dilakukan sebilangan rakyat pada pilihan raya yang lalu.

Menurutnya, ia sangat mustahak dalam menentukan masa depan tanah air dan masyarakat.

“Ingatlah sebilangan rakyat pernah bereksperimen pada PRU14. Natijah tersilap memilih kerajaan seperti yang berlaku pada 9 Mei 2018 adalah amat buruk.

“Kemorosotan ekonomi, kewangan negara kucar-kacir, ketidakstabilan politik, keharmonian hidup masyarakat terganggu, kebajikan rakyat dikurangkan.

“Aset-aset strategik negara `dilelong’ sewenang-wenang, projek-projek untuk rakyat difaraid oleh kroni, banyak perniagaan terpaksa gulung tikar. Sekali gus menyebabkan ramai hilang pekerjaan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mendakwa, pentadbiran kerajaan PH lebih mengutamakan politik berbanding berkhidmat untuk rakyat.

Justeru, beliau menggesa rakyat tidak megulangi kesilapan yang sama pada hari pengundian 19 November nanti.

“Kerajaan BN yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil perlu dibentuk.

“Dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global tahun depan oleh badan antarabangsa dan Malaysia akan turut berdepan tempiasnya.

“Usah memperjudikan masa depan negara dengan memilih PH hanya kerana kita mempunyai sentimen politik akibat terpengaruh dengan `bisikan’ pemimpin mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button