GTA Pahang alu-alukan kerjasama banyak pihak ubah nasib anak negeri
Ramai tidak tahan dengan sikap kerajaan negeri

BANGI, 26 Rabiulawal 1444H, Ahad – Meskipun ramai pemimpin dari kalangan orang Pahang, keadaan negeri itu kelihatan jauh ketinggalan.
Atas dasar itu, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang, Aminuddin Yahaya mengalu-alukan sesiapa sahaja – persatuan, NGO atau individu perseorangan untuk bersama gerakan itu mengembleng tenaga memacu perubahan demi nasib anak-anak Pahang.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius pelbagai isu yang dibangkitkan rakyat berhubung ketidakpuashatian mereka terhadap keadaan di sana.
Antara perkara berbangkit, isu tanah; integriti dan korupsi; pembangunan negeri; penjawatan awam negeri serta alam sekitar.
“Semalam saya sempat bertemu secara tertutup dengan aktivis-aktivis dan wakil-wakil NGO tempatan di Pahang yang menawarkan tenaga dan kepakaran masing-masing untuk jentera GTA Pahang dalam PRU15 ini.
“Masing-masing hadir dan berkongsi mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan segala ketidakpuashatian mereka terhadap keadaan di negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Aminuddin yakin ramai sudah tidak tahan dengan sikap kerajaan negeri yang dilihat bermudah-mudah terhadap isu sebegini.
“Mungkin mereka terlalu selesa dengan kedudukan yang mereka ada sahaja,” katanya.
Aminuddin juga jurucakap Gagasan Bangsa yang baru ditubuhkan – turut diterajui gabungan pemimpin-pemimpin Melayu daripada pelbagai latar belakang.
Ia termasuk gabungan NGO Melayu ahli akademik, agamawan, alam sekitar, profesional (peguam, dokor), kesenian, bekas pegawai kerajaan dan pelbagai lagi yang prihatin terhadap isu negara dan apa yang dihadapi oleh rakyat.