Kesepakatan politik mesti bertunjang agama, bangsa, tanah air
Keputusan GTA atas dasar konsensus bukan peribadi

BANGI, 26 Rabiulawal 1444H, Ahad – Parti BERJASA – komponen Gerakan Tanah Air (GTA) – berprinsip bahawa kesepakatan politik mesti bertunjangkan kebaikan kepada masa hadapan agama, bangsa dan tanah air.
Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli menegaskan perkara itu selepas Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan GTA bersedia mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti pada pilihan raya umum nanti.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA itu berkata, terdapat dua kaedah bagi GTA untuk membentuk kerjasama politik iaitu menyertai gabungan parti politik atau melakukan pakatan pilihan raya bagi mengelakkan pertindihan calon di sesuatu kerusi.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan gabungan parti politik tertentu untuk melihat sama ada kerjasama boleh dilaksanakan ataupun tidak.
“Kita tidak kisah sangat dengan mana satu (PH atau PN), tapi setakat ini saya ingat adalah sedikit respons positif daripada PN, dengan PH itu saya baru dengar yang (Pengerusi Penaja GTA) Tun Dr Mahathir (Mohamad) buat kenyataan menerusi video itu (semalam) yang dia pun terbuka kalau PH nak berbincang,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari, Datuk Mohd Rosli berkata, beliau mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Presiden Pejuang itu.
“Parti BERJASA amat menghormati sistem musyawarah yang menjadi tunjang kepada kesepakatan komponen GTA yang terdiri dari parti-parti politik, badan bukan kerajaan NGO dan tokoh-tokoh nasional.
“Justeru itu, segala keputusan berkaitan dasar GTA itu sendiri perlu didasari kesepakatan atau konsensus semua komponen GTA dan tidak hanya berkisar pendapat peribadi mana-mana pihak,” katanya.
Penubuhan GTA yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lalu dianggotai empat parti iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Bahkan, gerakan itu juga terbuka kepada NGO, orang perseorangan, ahli akademik serta golongan profesional dalam kalangan Melayu.
Sebelum ini, Gagasan Bangsa (GB) memutuskan untuk bekerjasama dengan keempat-empat parti komponen utama GTA bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Pun begitu, memandangkan penubuhan GTA belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), semua komponen gerakan itu bersetuju menggunakan logo Pejuang bagi menghadapi PRU15.