Berita Utama

Jangan sampai diketawakan, tak masuk akal sampai 3 TPM

Berkempen jangan janjikan bulan bintang, nanti makan diri

BANGI, 27 Rabiulawal 1444H, Isnin – Cadangan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) bukan sahaja dianggap sukar dipercayai bahkan tidak masuk akal.

Barisan Nasional mengatakan selepas menang PRU15, Datuk Seri Ismail Sabri akan kekal menjadi Perdana Menteri, dan Presiden UMNO pula menyebut akan mewujudkan tiga Timbalan PM, wakil Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Pakatan Harapan juga umumkan dua TPM. Bayangkan apa kata ultra kiasu Cina yang selama ini memang mahukan kerusi TPM.

“Jangan sampai orang ketawakan, negara sekecil Malaysia, jawatan yang ditawarkan lebih banyak daripada wakil rakyat.

“Negara China dan India berpuluh kali ganda lebih besar pun tidak pelik sebegini,” kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Apa yang penting pada masa kini adalah, rancangkan strategi untuk menang, meskipun sudah tidak ada lagi permuafakatan dalam kalangan parti politik Melayu bukan PH.

“Berjanji bulan bintang tidak menguntungkan sesiapa, melainkan makan diri,” tegasnya

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) berhasrat mewujudkan jawatan TPM masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sekiranya parti terbabit dominan untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan terbabit akan dimasukkan dalam manifesto BN Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada masa sama, PH juga mengumumkan dua jawatan TPM, iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Sabah atau Sarawak (Borneo).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button