Berita Utama

Belum terlambat BN, PN dan GTA bergabung

Ingat, jika PH menang kerajaan baharu akan ditunggang oleh DAP

BANGI, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Parti-parti politik Melayu dirayu untuk bergabung bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi agama, rakyat dan negara. 

Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, kepimpinan tiga gabungan politik Pribumi iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) masih dapat duduk semeja sebelum Hari Penamaan Calon.

Beliau berkata, ego politik perlu diketepikan bagi menubuhkan kerajaan Gagasan Pribumi yang teguh selepas PRU15, sekali gus menyekat Pakatan Harapan (PH) dan DAP daripada kembali berkuasa.  

“QIAM dengan rendah hati menyeru dan merayu agar pemimpin ketiga-tiga kelompok ini supaya ketepikan apa jua pergeseran demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara tercinta ini. 

“Cukuplah berselisihan. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Jika ini menjadi realiti, negara stabil rakyat bahagia menuju ke arah negara Malaysia yang makmur dan maju,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, PRU15 adalah kritikal dalam menentukan masa depan negara khususnya bagi kaum Pribumi yang merupakan 70 peratus penduduk negara.

Amat malang sekali jika disebabkan kepentingan peribadi dan matlamat jangka pendek, kepimpinan politik Pribumi berpecah dan kuasa politik bakal jatuh ke tangan orang lain, kata Sirajuddin.

“Berdepan PRU15 pada 19 November 2022 ini, empat gabungan parti politik akan bertembung untuk merebut 222 kerusi  Parlimen, iaitu BN, PN, GTA dan PH. Gabungan yang berjaya mendapat jumlah majoriti akan menubuh kerajaan. 

“Apa yang paling membimbangkan ialah dalam semua kawasan majoriti Melayu BN, PN dan GTA akan bertembung sesama sendiri. Dalam senario ini, besar kemungkinan PH dengan sokongan padu undi bukan Melayu mendapat kelebihan undi dan berpihak kepada calon parti itu.

“Jika PH menang PRU15, kerajaan akan datang akan ditunggang oleh DAP. Tidakkah kaum Pribumi ingat bagaimana negara di bawah kerajaan DAP?,” soalnya.

Beliau berkata, pengalaman diperintah 22 bulan negara di bawah DAP amat menakutkan apabila dakwanya Perlembagaan cuba dirobek, bahasa Melayu tidak dihormati dan agaka Islam diperlekeh.

“Selain itu 20,000 penjawat awam diberhentikan, Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) cuba dikawal, malah silibus pelajaran agama Islam cuba dipinda, penjenayah Komunis Chin Peng dan parti Komunis dimuliakan. 

“Jika mereka lama berkuasa mungkin Malaysia ditukar menjadi republik seperti Singapura. DAP dan PAP menjalin hubungan yang sangat erat,” katanya.

Justeru, tegasnya, mahu tidak mahu baik BN, PN atau GTA akan memerlukan satu sama lain untuk bersepakat bagi membentuk kerajaan yang kuat sekaligus dapat menyekat PH dari kembali berkuasa. 

Beliau berpandangan, daripada melaksanakan penggabungan selepas pilihan raya, adalah lebih baik jika penggabungan itu direalisasikan sebelum pilihan raya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada tiga gabungan politik Pribumi dalam PRU15

“Pemuafakatan politik BN, PN dan GTA adalah jauh lebih baik dan lebih mantap dibuat sebelum PRU15 daripada diusahakan selepasnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button