Berita Utama

DAP gembira undi Melayu pecah

PH sukar bentuk kerajaan jika pengundi Melayu ‘solid’

BANGI, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Dalam keadaan rakyat lesu dan bosan dengan politik, pemimpin DAP kelihatan berharap perpecahan pengundi Melayu boleh memenangkan Pakatan Harapan (PH).

Ini dibuktikan apabila beberapa orang pimpinan DAP melahirkan rasa gembira apabila undi Melayu dijangka bakal berpecah kepada sekurang-kurangnya tiga kelompok dalam PRU ke-15 tidak lama lagi, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

“Ketika berucap di dalam Konvensyen DAP Perak baru-baru ini, seorang pemimpin tertinggi DAP menyasarkan untuk membentuk koridor PH di Pantai Barat yang merangkumi negeri-negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. 

“Menurut pemimpin DAP tersebut, sasaran ini dapat dicapai sekiranya PH dapat menambah lagi kerusi-kerusi Parlimen di Perak, berbanding hanya memenangi 13 daripada 24 kerusi Parlimen seperti dalam PRU ke-14 yang lalu,” kata Zuhdi dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas perkara itu, beliau yakin DAP sebenarnya tidak memerlukan sokongan pengundi Melayu disebabkan mereka kebanyakannya bertanding di kerusi-kerusi Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai. 

Daripada 28 kerusi Parlimen yang pengundi Cinanya melebihi 50 peratus, 27 daripadanya dimenangi oleh DAP dan satu dimenangi oleh PKR. 

Justeru, sepatutnya DAP tidak perlu memberi perhatian sama ada undi Melayu berpecah atau tidak, disebabkan kemenangan atau kekalahan mereka ditentukan oleh undi Cina, kata Dr Mohd Zuhdi.

“Jadi mengapa DAP perlu bimbang dengan kesatuan undi Melayu? Jawapannya, sekiranya undi Melayu tidak berpecah, ada lebih kurang 31 kerusi di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dimenangi PH boleh terlepas kali ini. 

“PH sukar untuk membentuk kerajaan sekiranya mereka kehilangan kerusi-kerusi tersebut. Apatah lagi, kerusi-kerusi tersebut sekarang diduduki oleh beberapa nama besar pimpinan PH, termasuklah yang pernah menjadi menteri dan timbalan menteri semasa PH memerintah.

“Jika situasi pengundi Melayu solid berlaku yang menyebabkan PH sukar bentuk kerajaan, sudah pasti pengundi Cina berfikir beberapa kali untuk undi DAP. Apa faedah mereka undi DAP jika sekadar jadi pembangkang di Parlimen?,” katanya.

Dengan pengertian lain, katanya, jika pengundi Cina tetap memberi undi kepada DAP, bermakna wakil dalam kerajaan yang bakal terbentuk selepas PRU ke-15, akan mengandungi kurang bilangan menteri daripada kaum mereka. 

Dalam pada itu, Dr Mohd Zuhdi berkata, beliau yakin semua maklum bahawa corak pengundian kaum Cina tidak ditentukan oleh kekuatan parti-parti politik sama ada DAP, MCA atau Gerakan. 

Sebaliknya, corak pengundian kaum Cina dipandu oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka. 

“Oleh sebab itu, pengundi Cina pernah beri sokongan besar kepada MCA dan Gerakan sebelum ini, sebagaimana mereka beri sokongan besar kepada DAP sekarang. Dalam PRU ke15 corak pengundian itu masih dipengaruhi oleh NGO tersebut.

“NGO kaum Cina ini terdiri dari golongan peniaga dan juga persatuan pendidikan. Mereka perlukan bilangan menteri dari kaum Cina yang mencukupi sebagaimana yang pernah berlaku di zaman Perikatan dan BN memerintah. 

“Sudah tiga kali PRU mereka memberi sokongan besar kepada DAP, tetapi hasilnya kurang bilangan menteri yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan,” katanya.

Berikutan itu, pada PRU kali ini, mereka mahu pastikan adakah PH benar-benar boleh memerintah jika mereka mengundi PH, dan petunjuknya boleh dilihat daripada sama ada undi Melayu berpecah atau tidak. 

“Sekiranya undi Melayu berpecah, maka PH ada peluang besar menang, justeru pengundi Cina boleh memberi sokongan kepada DAP. 

“Sebaliknya jika undi Melayu tidak berpecah, harapan untuk PH menang adalah tipis, lalu apa guna mereka memberi sokongan besar kepada DAP yang hanya akan menjadi pembangkang? Jadi perpecahan pengundi Melayu adalah satu berita gembira kepada DAP,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button