Jangan termakan janji manifesto tak masuk akal
GTA kemuka calon baharu, tiada rekod salah laku rasuah

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Tidak mahu ‘pisang berbuah dua kali’, pengundi khususnya golongan muda diingatkan supaya lebih peka dalam menilai intipati manifesto setiap parti untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Meskipun terdapat manifesto yang dilihat ‘indah’ pada mata kasar, rakyat dinasihatkan tidak mudah ‘terbuai’ dengan janji-janji bulan bintang yang tidak masuk akal itu.
Atas sebab itu, Gerakan Tanah Air (GTA) mengambil pendekatan untuk bersikap realistik dan bertanggungjawab dalam merangka manifesto PRU15, khususnya memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Timbalan Pengerusi GTA, Aminuddin Yahaya berkata, gerakan itu tidak akan bertindak seperti Pakatan Harapan (PH) pada 2018 lalu, yang menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat demi mendapatkan kuasa.
“Kita (GTA) tahu apa yang rakyat perlukan. Jadi, (manifesto) kita akan berfokus untuk membantu rakyat dalam segala aspek.
“Ini antaranya termasuklah ekonomi, pendidikan, agama Islam, kesihatan, generasi muda dan wanita,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Ditanya apakah tawaran utama GTA dalam menarik golongan pengundi muda khususnya ‘atas pagar’, Aminuddin berkata, sejak dari awal, gerakan berkenaan menjaminkan barisan calon berwibawa untuk dikemukakan pada PRU15.
“Mereka boleh lihat pada calon (GTA) yang berwibawa dan berintegriti. GTA akan mengemukakan profil calon-calon, di mana pengundi boleh semak nanti.
“Ramai muka-muka baharu yang tiada rekod rasuah atau jenayah,” katanya.
GTA dijangka bertanding di 120 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.
Gerakan itu dilaporkan bakal bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan yang ditandingi UMNO khususnya di Semenanjung Malaysia.