Berita Utama

JPN nafi warga Bangladesh diberi MyKad menjelang PRU15

Satu laporan polis dibuat berikutan penularan dakwaan palsu

BANGI, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan yang sedang tular di media sosial kononnya ramai warga Bangladesh diberikan MyKad menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

JPN dalam kenyataan menegaskan bahawa MyKad hanya dikeluarkan kepada individu warganegara Malaysia yang layak sahaja berdasarkan peruntukan perundangan.

Pada masa sama, jabatan itu turut menjelaskan paparan MyKad yang ditularkan dan didakwa milik warga Bangladesh adalah tidak benar.

“Sebaliknya beliau adalah seorang warganegara Malaysia yang sah. Beliau telah diambil dan dibesarkan oleh satu keluarga Cina sejak dari lahir lagi.

“Malah, isu ini telah dilaporkan oleh pihak media yang menjelaskan bahawa individu tersebut adalah warganegara Malaysia,” katanya.

Susulan perkara itu, JPN memaklumkan satu laporan polis telah dibuat oleh pihaknya pada 23 Oktober lalu berikutan penularan dakwaan palsu terbabit.

“Tindakan ini bukan sahaja boleh menjatuhkan imej dan menjejaskan kredibiliti JPN, malah ianya boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Laporan tersebut dibuat supaya pihak polis boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebarkan dakwaan palsu berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi kepada umum.

“Tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu. 

“Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubung Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel ke [email protected],” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button