Dunia

Lubnan gagal lagi pilih presiden kali ke-4

50 MP sengaja biar undi kosong, tinggal sidang dewan

BEIRUT, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Parlimen Lubnan sekali lagi gagal memilih presiden untuk negara itu buat kali keempat, hanya beberapa hari sebelum tempoh penggal Michel Aoun ditetapkan berakhir hujung bulan ini.

Proses pengundian pada Isnin gagal menjadi penentu apabila berlaku perpecahan dalam kalangan ahli Parlimen Lubnan terhadap calon yang ditentang oleh kumpulan disokong Iran – Hizbullah.

Michel Moawad – anak kepada bekas Presiden Rene Moawad – memenangi 39 undi, kurang daripada 86 undi yang diperlukan untuk menang.

Sebanyak 50 ahli Parlimen – yang mempunyai 128 kerusi – membiarkan undi mereka kosong dan beberapa daripada mereka meninggalkan sidang sebelum pusingan kedua boleh diadakan.

Ahli Parlimen dari Parti Kataeb yang menyokong Moawad, Elias Hankash mengkritik kelewatan Hizbullah dan menganggap mereka yang meninggalkan sesi berkenaan telah menyebabkan ‘gangguan sistematik’.

Dengan gangguan kepada proses undian yang berlaku untuk kali keempat dan hanya beberapa hari sebelum penggal Presiden Auon berakhir, Speaker Parlimen, Nabih Berri menggesa satu lagi sesi diadakan pada Khamis ini.

Kegagalan dalam setiap percubaan memilih presiden bukanlah suatu perkara luar biasa di Lubnan, malah Aoun pada 2016 juga berdepan 45 percubaan selepas ahli Parlimen enggan bersepakat membuat pengundian.

Kegagalan yang berulang tahun ini dilihat lebih berisiko kerana situasi Lubnan yang semakin lumpuh akibat beberapa siri krisis melanda negara itu sejak kebelakangan ini.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button