Berita Utama

Politik wang musnahkan negara, barah rosakkan rakyat

BERJASA bawa perubahan, tawar kepimpinan wibawa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Amalan politik wang yang semakin berleluasa perlu dihentikan sebelum menjadi barah yang merosakkan parti dan rakyat. 

Ia berlaku secara turun temurun di setiap peringkat kepimpinan sehingga ke akar umbi, bahkan rakyat sendiri secara umumnya disogok dengan pelbagai imbuhan materialistik untuk mendapatkan sokongan.

Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad menegaskan, budaya politik wang amat merosakkan, bukan sahaja dari sudut integriti tetapi juga kredibiliti pemimpin negara.

“Sedangkan, rakyat Malaysia terkenal dengan adat ketimuran dan juga sebagai seorang Islam kita tahu bagaimana rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu perkara amat dikeji dalam agama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Lukman menegaskan, budaya tidak sihat ini adalah perubahan baharu yang sebenarnya ingin dibawa oleh partinya, BERJASA.

Mengakui membanteras politik wang satu perjuangan yang mencabar, beliau berkata, ia perlu dimulakan dari sekarang demi kebaikan generasi akan datang. 

Naib Presiden BERJASA itu juga sedar bahawa perkara ini tidak mudah untuk  berubah kerana harus bermula daripada atas ataupun ‘top-down approach’. 

“Kita harus menunjukkan model, contoh atau teladan. Peringkat perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan juga di peringkat negeri termasuk kepimpinan parti-parti politik Malaysia. 

“Kalau pemimpin di atas masih bermain dan bergelumang dengan politik wang, bagaimana kita mengharapkan rakyat di bawah mahu memilih calon berdasarkan kredibiliti dan kewibawaan. 

“Ia sama sekali tidak logik untuk berlaku dan perubahan peringkat atasan ini juga tidak mudah kerana kita masih lagi didominasi dengan pemain politik yang lama,” katanya.

Meskipun begitu, rakyat Malaysia harus melakukan perubahan, tegas pemerhati politik itu.

“Saya tahu ini bukan perkara mudah dan akan mengambil masa panjang kerana selain daripada perubahan top-down approach kita juga memerlukan perubahan transformasi pendidikan. 

“Kita perlu melihat bagaimana sistem pendidikan itu diintegrasikan dengan agama, bukan sahaja subjek Pendidikan Islam, tetapi keseluruhan pendidikan itu harus bertunjangkan kepada agama Islam, barulah kita akan dapat mengatasi masalah ini secara holistik,” katanya.

Selain itu, Muhammad Lukman berkata, rakyat juga perlu dididik untuk memilih atau melantik pemimpin berdasarkan agenda, projek pembangunan, idea yang membawa satu kemajuan kepada komuniti, masyarakat setempat dan seterusnya kepada negara. 

“Ini sudah pasti memerlukan masa untuk fahamkan rakyat, termasuk memberi contoh negara yang hari ini telah bankrap dan hancur disebabkan sistem politik wang yang tidak terkawal seperti Sri Lanka dan negara lain. 

“Malaysia masih lagi dalam status boleh diselamatkan jika kita bermula hari ini untuk mendidik generasi, seterusnya menolak politik wang dan memfokuskan kepada kredibiliti calon dan kemajuan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button