Rishi Sunak bakal Perdana Menteri UK baharu
Cabaran pulihkan negara yang dilanda kegawatan politik, ekonomi

LONDON, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Rishi Sunak akan menjadi Perdana Menteri Britain selepas beliau memenangi persaingan untuk mengetuai Parti Konservatif.
Sunak, salah seorang ahli politik terkaya di Westminster dan bakal menjadi pemimpin kulit berwarna pertama negara itu, akan diminta membentuk kerajaan oleh Raja Charles, menggantikan Liz Truss, pemimpin yang baru berkhidmat selama 44 hari sebelum meletak jawatan.
Beliau menewaskan ahli politik berhaluan tengah, Penny Mordaunt, yang gagal mendapat sokongan daripada penggubal undang-undang untuk menyertai pengundian, manakala pesaingnya, bekas Perdana Menteri, Boris Johnson, menarik diri apabila mendakwa tidak lagi boleh menyatukan parti.
“Keputusan ini adalah satu perkara bersejarah. Ia menunjukkan kepelbagaian dan bakat parti kami,” kata Mordaunt dalam satu kenyataan ketika dia menarik diri hanya beberapa minit sebelum pemenang diumumkan.
Pound dan harga bon kerajaan British melonjak seketika berikutan berita penarikan Mordaunt, tetapi tidak lama kemudian kembali ke tahap sebelumnya.
Menurut seorang wartawan ITV, raja akan kembali ke London dan boleh menerima peletakan jawatan Truss pada hari Selasa.
Sunak, bekas Menteri Kewangan berusia 42 tahun, menjadi Perdana Menteri ketiga Britain dalam masa kurang dua bulan, ditugaskan untuk memulihkan kestabilan negara yang dilanda kegawatan politik dan ekonomi selama bertahun-tahun.
Beliau dijangka melancarkan pemotongan perbelanjaan yang mendalam untuk cuba membina semula reputasi fiskal Britain, selepas negara itu mengalami kemelesetan, diheret oleh kos tenaga dan makanan yang melonjak.
Sunak juga akan mewarisi parti politik yang telah retak mengikut garis ideologi, satu cabaran yang merosakkan nasib beberapa bekas pemimpin Konservatif. – Agensi