Berita Utama

Tak perlu debat antara calon PM

‘Debat bukan budaya kita’: Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Debat secara terbuka antara calon Perdana Menteri yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak wajar dilaksanakan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berpandangan, debat itu tidak akan mencapai sesuatu yang besar.

“Bukan budaya kita berdebat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat polis mengenai persiapan menghadapi pilihan raya dan kemungkinan banjir di Bukit Aman, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu mengulas cadangan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menganjurkan debat terbuka antara calon Perdana Menteri daripada parti yang bertanding dalam pilihan raya umum.

“Jika debat diadakan, ia akan memberi beliau (Anwar) satu platform untuk menyatakan manifesto dan janjinya. Macam-macam janji akan ditaburkan, jadi saya rasa tidak perlu ada perbahasan (di kalangan calon perdana menteri daripada tiga gabungan utama).

“Tidak perlu berdebat kerana semua akan sibuk di kawasan masing-masing.

“Kemenangan kita akan berdasarkan kepercayaan rakyat, dan itu tidak datang daripada debat selama sejam,” kata Ismail Sabri.

Dilaporkan bahawa Anwar, yang merupakan presiden PKR, mencadangkan perdebatan secara terbuka dan positif antara calon-calon jawatan perdana menteri yang bertanding dalam pilihan raya umum.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan bagi membolehkan perbincangan mengenai dasar dan bukan perkara perkauman atau agama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button