Akibat terdesak, lelaki ancam bakar diri di bank Lubnan
Perlukan RM23,657 tampung kos pembedahan jantung berlubang anak

BEIRUT, 29 Rabiulawal 1444H, Rabu – Akibat terdesak memerlukan wang, seorang lelaki Lubnan mengancam untuk membakar diri di dalam cawangan Blom Bank di Sidon, selatan negara semalam.
Menurut agensi Anadolu yang memetik saksi berkata, lelaki terbabit mengugut untuk bertindak demikian selepas pihak bank enggan menyerahkan sebahagian wang deposit jangka panjangnya.
Lelaki dikenali sebagai Wafik Kalo itu didakwa bertindak menutup pintu bank dan menghalang pelanggan lain daripada masuk atau keluar.
Sejurus pasukan keselamatan tiba di tempat kejadian, mereka memujuk Kalo untuk membuka pintu dan tidak bertindak membahayakan diri sendiri.
Menurut bapa Kalo, Mohamed, anaknya pergi ke bank berkenaan bagi mengeluarkan sebahagian wang setelah mengatur temujanji beberapa hari lalu.
“Kami datang hari ini selepas pengarah bank memberitahu kami untuk datang pada hari Isnin mengambil wang. Seminggu yang lalu kami membawa kertas dan X-Ray selepas doktor yang merawat memberitahu bahawa anak Kalo mengalami masalah jantung berlubang dan memerlukan pembedahan dengan kos sebanyak RM23,657.
“Kami mempunyai lima akaun di bank dan kami tidak mahu kesemuanya, kami hanya mahukan perbelanjaan pembedahan. Apabila anak saya meminta haknya, mereka menghalangnya daripada masuk.
“Mereka mahu memberinya sub berdasarkan kadar pertukaran 8,000 Pound Lubnan, kerana mengetahui bahawa semua akaun tidak akan mencukupi untuk menampung pembedahan berdasarkan kadar ini,” kata Mohamed.
Kalo adalah pelanggan terbaharu dalam peningkatan jumlah pendeposit yang marah dan memaksa pemberi pinjaman Lubnan membenarkan akses simpanan yang dikurung bawah kawalan tidak rasmi dikenakan dalam menghadapi krisis kewangan paling teruk dalam sejarah negara itu.
Kalo senasib dengan kebanyakan rakyat Lubnan yang terkurung daripada simpanan mereka oleh sekatan bank yang diperketatkan sejak permulaan kejatuhan kewangan negara pada 2019.
Pemberi pinjaman komersial telah mengharamkan kebanyakan urus niaga mata wang asing, memaksa pendeposit mengeluarkan simpanan mereka dalam kejatuhan Pound Lubnan, yang telah kehilangan lebih 95 peratus nilainya berbanding dolar di pasaran gelap.
Bank-bank Lubnan ditutup selama seminggu selepas beberapa siri rompakan pada 16 September.
Sejak itu, mereka telah membuka semula transaksi berkaitan perniagaan mengikut sistem janjitemu dan dalam keadaan keselamatan yang ketat. Sementara itu, individu boleh menggunakan ATM bagi menjalankan operasi tunai.
Lubnan telah menyaksikan krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak 2019. Nilai mata wang tempatan telah jatuh dan terdapat kekurangan barangan asas yang teruk, termasuk bahan api dan ubat. – Agensi