Berita Utama

GRS tubuh jawatankuasa khas teliti peningkatan pengundi Sabah

Kenal pasti pengundi didaftar di kawasan jentera parti adalah benar, sah

KOTA KINABALU, 29 Rabiulawal 1444H, Rabu – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menubuhkan jawatankuasa khas di setiap daerah untuk mengenal pasti serta meneliti peningkatan mendadak jumlah pengundi di negeri itu  seperti dilaporkan baru-baru ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, jawatankuasa khas yang terdiri daripada jentera parti itu, akan bertindak mengenal pasti pengundi yang didaftarkan di kawasan masing-masing (jentera parti) adalah benar dan sah.

“Mereka (jentera parti di setiap daerah) lebih tahu siapa pengundi di kawasan masing-masing. Mereka telah menetap dan tinggal di kawasan itu selama puluhan tahun, jadi mereka tahu siapa pengundi itu sama ada orang di situ atau sebaliknya.

“Selepas selesai penelitian tersebut, satu laporan akan dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan minyak masak jenama ‘Sayang’ dikeluarkan Sawit Kinabalu Sdn Bhd di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan berlaku peningkatan mendadak jumlah pengundi di Sabah iaitu daripada 1,064,686 orang pada 2018 semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada 1,638,806 orang menjelang PRU15.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button