Kolumnis

Jadilah pengundi berwibawa untuk PRU15

Cuai lantik wakil rakyat boleh rugikan diri, masyarakat dan negara

SIAPAKAH gerangan pengundi yang berwibawa ini? Pengundi yang berwibawa adalah rakyat Malaysia yang berfikir sebelum memangkah mana-mana calon yang menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya.

PRU15 kali ini menyaksikan satu medan ‘berpencak silat’ yang menarik dan bersejarah. Ini kerana calon-calon yang bertanding bukan lagi atas kapasiti peribadi semata-mata akan tetapi mewakili parti-parti yang menjadi komponen kepada gabungan beberapa parti politik.

Gabungan ini bukanlah sesuatu yang baru cuma pada kali ini yang bertanding seolah-olah gabungan parti-parti politik, dan bukan lagi sesebuah parti politik secara sendirian. Bilangan gabungan parti-parti politik juga semakin banyak – BN, PH, PN dan juga terkini GTA.

Maka kita mungkin tertanya-tanya: apa ertinya gabungan-gabungan parti politik ini kepada para pengundi?

Pada pandangan saya, senario seperti ini menyebabkan para pengundi perlu mengubah cara mereka menilai calon, parti politik dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. 

Menilai kemampuan atau ketokohan seseorang calon bukan lagi kriteria utama oleh kerana calon tersebut tidak lagi mewakili parti beliau secara khusus akan tetapi mewakili satu gabungan antara beberapa parti.

Kalau dahulu para pengundi mengenali calon pilihanraya sebagai mewakili perjuangan parti politik yang dianggotainya, kini perjuangan parti politik calon tersebut ‘bersebati’ dengan parti-parti lain yang mempunyai agenda perjuangan yang tersendiri. 

Cuma yang akan lebih memudahkan para pengundi membuat pilihan ialah sekiranya gabungan parti-parti politik itu mempunyai agenda, matlamat dan tujuan yang hampir sama.

Parti-parti politik yang wujud hari ini, termasuk di Malaysia, sebenarnya saling memerlukan antara satu sama lain. Ini kerana mereka perlu mempunyai satu pihak lagi yang boleh dijadikan sebagai ‘musuh/seteru/lawan’ untuk relevan dan mengekalkan sokongan atau pengaruh masing-masing. 

Sekiranya satu parti politik yang menjadi ‘musuh tradisi’ sudah tidak ada, maka mereka perlu ‘mengujudkan’ satu lain parti politik lain untuk dijadikan sasaran ‘kempen’ mereka.

Sebab yang lain ialah tidak ada istilah ‘kawan’ atau ‘musuh’ yang kekal di dalam medan politik. Musuh suatu masa dahulu mungkin menjadi sahabat pada hari ini. 

Agenda dan matlamat perjuangan yang mungkin bertembung pada satu masa dahulu tidak mustahil menjadi dasar perjuangan yang disepakati pada hari ini.

Adakah keadaan ini akan mengelirukan para pengundi? Tidak, dengan syarat para pengundi adalah pengundi yang berwibawa. 

Bagaimanapun untuk sampai kepada tahap kewibawan ini mungkin tidak semudah yang ditulis/dicakap oleh kerana terdapat banyak factor bolehubah (variable) yang sukar diramalkan. Cuma para pengundi hanya boleh membuat sekadar andaian sahaja berdasarkan peratus maklumat yang sampai atau tahap kesedaran yang ada pada diri sendiri.

Satu contoh mudah ialah: Sejauh mana kita boleh meyakini bahawa Anwar Ibrahim (yang parti politik beliau iaitu PKR memiliki bilangan kerusi kedua terbesar selepas DAP di Parlimen) tidak akan bekerjasama dengan BN untuk merialisasikan hasrat dan impian puluhan tahun beliau untuk menjadi Perdana Menteri? 

Atau BN pula boleh menjalin kesefahaman dengan PH untuk menghalang potensi gabungan GTA yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir, yang dianggap sebagai ‘musuh politik’ oleh kedua-dua BN dan juga PH? Atau PAS dan DAP kembali menjalin hubungan intim mereka yang satu masa dahulu diberi jolokan ‘Tahaluf Siyasi’ untuk melawan UMNO/BN?

Sekadar contoh sahaja ya.

Pilihanraya umum boleh juga dianggap sebagai satu ‘pelaburan’, ‘pertaruhan’ dan ‘penentu’ nasib atau masadepan kerjaya seseorang pemimpin politik. Dan pihak yang ‘berkuasa’ dalam pilihanraya umum nanti ialah rakyat, umat dan bangsa yakni para pengundi.

Di sinilah para pengundi yang asalnya sekadar menjadi individu-individu yang mendaftar dan beratur untuk memangkah perlu dididik dan diberi kefahaman supaya mereka berperanan menjadi pengundi yang berwibawa. Ini kerana merekalah yang sebenarnya bertanggungjawab untuk memilih kepimpinan negara untuk tempoh Lima tahun lagi.

Kesilapan dan kecuaian melantik wakil-wakil rakyat ke Parlimen boleh membawa kerosakan, mudharat dan kerugian kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

Bagi seseorang pengundi Muslim, tanggungjawab ini menjadi lebih berat memandangkan undi dan pangkahan mereka mempunyai kaitan yang amat rapat dengan agama Islam dan kedudukan serta kedaulatannya.

Di sinilah para pengundi Muslim perlu berhati-hati membuat pilihan supaya tidak menghantar wakil-wakil rakyat yang dikenali sebagai individu yang rasis dan cauvinis, yang membenci kesepakatan antara bangsa Melayu, yang cuba memaksakan agenda atau ideologi asing ke dalam tubuh umat dan bangsa, yang celupar terhadap agama Islam dan yang menjadi agen dan tali barut kepada musuh serta sanggup menggadaikan kedaulatan negara.

Kita tidak menolak kemungkinan berlakunya pertembungan antara dua atau tiga calon Melayu/Muslim di sesebuah kawasan dalam pilihanraya ini, yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan para pengundi. Di sinilah para pengundi perlu bijak membaca percaturan dan membuat penilaian yang melebihi fokus terhadp calon-calon yang bertanding. 

Para pengundi Melayu/muslim perlu bertanya parti politik manakah yang mendukung atau menaungi calon tersebut, apakah agenda, falsafah, prinsip dan nilai yang diperjuangkan oleh parti politik berkenaan dan apakah muslihat parti tersebut meletakkan calon Melayu untuk bertanding.

Senario di atas bukan satu kemustahilan. DAP contohnya adalah parti yang sedang cuba untuk menerobos masuk ke kawasan-kawasan yang ramai pengundi Melayu/Muslim. Parti cauvinis tersebut sangat maklum bahawa mereka akan sukar mendapat tempat di hati para pengundi Melayu/Muslim sekiranya meletakkan calon bukan-Melayu di tempat tersebut.

Pemerhatian terhadap beberapa pilihanraya umum sebelum ini adalah testimoni bahawa DAP cuba menambah bilangan kerusi Parlimennya di kawasan-kawasan ramai pengundi Melayu/Muslim. Parti ini juga mempunyai beberapa cawangan di negeri-negeri Pantai Timur yang hampir seluruh ahlinya terdiri dari orang-orang Melayu/Muslim. Mereka juga sedang rancak mengukuhkan kedudukan di beberapa negeri yang peratus pengundinya terdiri dari ramai orang-orang Melayu.

Selain dari menolak calon-calon rasis, cauvinis, anti-Melayu dan anti-Islam, menolak pemimpin atau calon-calon yang terpalit dengan jenayah rasuah, salahguna kuasa, khianat terhadap bangsa, tunduk kepada kepentingan bukan-Islam melebihi maslahat umat dan bangsa dan sanggup menggadaikan kedaulatan negara tidak kurang mudharatnya dengan calon-calon yang pekat dengan agenda liberal, pluraisme agama, Syiah dan fahaman-fahaman anti-Islam yang sesat, lebih-lebih lagi sekiranya ia menjadi ancaman kepada akidah umat.

Mana-mana parti atau calon yang membawa semua atau salah satu daripada unsur-unsur di atas perlu ditolak, meskipun mereka membawa imej Islam.

Negara kita sedang berada di satu persimpangan yang kritikal pada PRU15 ini. Yang akan memastikan arah tuju dan masa depan negara berada atas landasan yang bermaruah dan berdaulat adalah para pengundi yang berwibawa.

Pengundi yang berwibawa akan memilih wakil rakyat yang berwibawa ke Parlimen.

Semoga pilihan ini diberkati!

#PengundiBerwibawa

#CalonBerwibawa

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

***********

Bacaan tambahan;

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1010328/dap-tampil-lebih-ramai-calon-melayu-pada-pru-15

https://premium.sinarharian.com.my/article/213036/wawancara/wawancara-eksklusif/pru15-dap-bakal-tonjol-lebih-ramai-calon-melayu

https://www.astroawani.com/berita-politik/dap-intai-bertanding-kerusi-parlimen-di-kedah-384962

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button