Berita UtamaDunia

Jordan desak Israel henti operasi tentera ke atas Palestin

Ketegangan meningkat jejaskan penyelesaian dua negara

AMMAN, 29 Rabiulawal 1444H, Rabu – Kementerian Luar dan Ekspatriat Jordan mengecam pencerobohan berterusan tentera pengganas Israel di bandar Palestin, termasuk serangan awal pagi Selasa di Nablus dan Ramallah.

Kementerian itu memberi amaran bahawa peningkatan ketenteraan akan membawa kepada lingkaran baharu keganasan, di mana ‘semua pihak perlu membayar harganya.’

Menurut agensi berita Jordan – Petra – yang memetik kementerian berkata, serbuan Israel ke atas bandar Palestin dan tindakan mengekalkan penjajahan di tengah-kebuntuan kepada proses damai, akan membawa peningkatan yang berbahaya.

Justeru, kementerian menegaskan bahawa pentingnya untuk Israel menghentikan semua operasi ketenteraan terhadap rakyat Palestin, termasuk semua langkah haram lain yang menjejaskan penyelesaian dua negara dan peluang keamanan.

Pada masa sama, Jordan turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberi perlindungan kepada rakyat Palestin.

Ini termasuk melancarkan usaha sebenar bagi mencapai keamanan yang adil untuk menamatkan pendudukan dan menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Terdahulu, rejim Zionis membunuh enam rakyat Palestin dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain selepas serbuan ganas tentera di utara Tebing Barat yang diduduki pada Selasa.

Pasukan tentera menyerbu bandar Nablus dilengkapi dengan puluhan kenderaan perisai dan peluru berpandu antikereta kebal serta bertempur dengan pejuang Palestin di bandar itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button