Zahid cabar Kit Siang bangkit kes anak sendiri jika jujur lawan rasuah
Kes tanah banglo Guan Eng digugurkan selepas PH menang PRU14

BANGI, 29 Rabiulawal 1444H, Rabu – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar Lim Kit Siang mempersoalkan kes rasuah tanah dan banglo membabitkan anaknya, Lim Guan Eng jika benar veteran DAP itu jujur melawan rasuah.
Perkara itu dibangkitkan selepas Kit Siang meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi respons yang berpatutan dan positif kepada permohonan Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail untuk bertanding di bawah tiket PH di kerusi Parlimen Bagan Datuk.
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, langkah berkenaan membuka peluang bagi PH menekankan perjuangannya menentang rasuah dan memastikan mereka yang dituduh di mahkamah akan terus berdepan keadilan.
Alasan Kit Siang itu bagaimanapun dibidas Ahmad Zahid yang menganggapnya sebagai sangat tidak jujur.
“Lim Kit Siang jika jujur melawan rasuah sepatutnya mempersoalkan tentang kes rasuah tanah dan banglo.
“Kes rasuah bekas Setiausaha Agung DAP itu yang tiba-tiba digugurkan selepas beberapa bulan PH menang PRU14.
“Kes digugurkan di tengah-tengah perbicaraan setelah mahkamah memutuskan prima facie dan ramai saksi telahpun dipanggil,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Mohamed Tawfik yang juga pengasas Gerak Independent mengesahkan beliau akan bertanding menentang Ahmad Zahid di Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Anak bekas Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak itu pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 80-an.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan, tindakan lawan Barisan Nasional (BN) memperkuatkan ‘serangan’ ke atas beliau menjelang PRU15 bukan sesuatu yang luar biasa.
Baginya, ia terjadi luar biasa jika mereka tidak lagi ‘menyerang’ Pengerusi BN dengan pelbagai dakyah daripada sebelum menjelang PRU15 lagi.
“Sebab itu tokoh DAP, Lim Kit Siang pun amat mengambil berat tentang kerusi Parlimen Bagan Datuk disandang Presiden UMNO.
“Sehinggakan soal calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Bagan Datuk pun beliau dalam kerisauan.
“Minta PH restui individu pernah menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan jadi calon PH,” katanya.