Berita Utama

Komunikasi lucah transgender terhadap kanak-kanak jenayah serius

Mahkamah tetapkan perbicaraan kes Safiey Ilias 24 Julai tahun depan

Oleh Zuhayati Yazid

AMPANG, 1 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Mahkamah Sesyen Ampang menetapkan empat hari bermula 24 hingga 27 Julai 2023 sebagai perbicaraan terhadap kes transgender, Mohd Saifuddin Ilias atau Safiey Ilias.

Dia didakwa atas dua pertuduhan termasuk melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja lelaki melalui aplikasi Instagram.

Usahawan kosmetik itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan berkenaan dengan menggoyang-goyang payu daranya di hadapan mangsa menerusi Instagram di kediaman Bandar Baru Bangi, 9 Jun 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua jika disabit kesalahan.

Kes berkenaan dibawa ke muka pengadilan selepas Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar membuat laporan polis dan menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan terhadap transgender berkenaan yang melakukan dandanan seksual ke atas pengguna media sosial yang dipercayai berusia 14 dan 15 tahun.

Ahli Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), yang juga wakil bagi salah seorang pengadu, menyifatkan kes ini sebagai peringatan bahawa tiada siapa boleh memulakan sebarang komunikasi lucah dan tidak senonoh terhadap kanak-kanak.

Bercakap kepada Ismaweb.net, peguam serta Exco Belia dan Media WAFIQ, Nur Farihah Meor Mazli berkata, WAFIQ berperanan untuk menyebar luas fahaman bahawa perbuatan yang dilakukan transgender itu adalah jenayah serius yang melibatkan kanak-kanak.

“Sekiranya perkara ini berlarutan, kita tidak mampu untuk menyekat kes jenayah seksual yang semakin membimbangkan – yang mempunyai elemen ideologi LGBT .

“Kita khuatir sekiranya pempengaruh apatah lagi  seorang transgender mengeluarkan kenyataan berbentuk lucah dan seksual di media sosial.

“Perkara ini sepatutnya perlu segera dibanteras kerana tidak mahu songsang LGBT terus menular,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button