Berita UtamaDunia

Bangladesh gesa PBB main peranan efektif tangani krisis Rohingya

Kemasukan etnik berkenaan wujudkan pelbagai masalah keselamatan di Bangladesh

DHAKA, 26 Jamadilakhir 1443H, Sabtu – Bangladesh menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranan yang lebih efektif dalam menyelesaikan krisis etnik Islam Rohingya.

Gesaan tersebut dibuat dalam mesyuarat yang diadakan secara maya antara Setiausaha Luar Bangladeh, Masud Momen dan Duta Khas PBB ke Myanmar yang baru dilantik, Noeleen Heyzer.

Menerusi mesyuarat berkenaan, Masud menzahirkan rasa kecewa di atas kelangsungan krisis yang berlanjutan sehingga lima tahun tanpa sebarang usaha ke arah memulihkan keadaan.

Malah, Bangladesh sehingga kini terpaksa bergelut dengan pelbagai cabaran menjadi tuan rumah kepada lebih sejuta rakyat Myanmar.

Kemasukan etnik Rohingya ke Bangladesh telah menimbulkan pelbagai masalah keselamatan termasuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.

Masud dalam masa sama menyarankan, Pejabat PBB perlu berada dalam keadaan kondusif di Myanmar supaya masyarakat Rohingya berada dalam keadaan selamat dan terjamin.

Dalam masa sama, Noeleen memuji gerakan kemanusiaan Bangladesh yang luar biasa dan menghargai sikap Perdana Menteri, Sheikh Hasina kerana menunjukkan tahap kemanusiaan tinggi selepas sudi menjadi tuan rumah kepada lebih sejuta warga Myanmar yang teraniaya.

Beliau kini meletakkan krisis Rohingya sebagai keutamaan selain menyediakan beberapa perancangan dalam usaha menyelesaikannya.

Noeleen dilantik ke jawatan tersebut bermula Oktober 2021. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button