Berita Utama

Maik larang kempen PRU di masjid

Elak masjid jadi tempat sampaikan agenda politik

BANGI, 1 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melarang semua aktiviti berkaitan kempen politik dijalankan di seluruh masjid negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, larangan tersebut adalah untuk mengelakkan masjid daripada menjadi tempat berkempen oleh kumpulan tertentu bagi menyampaikan agenda politik.

“Arahan tersebut telah dikeluarkan oleh pihak Maik kepada imam-imam masjid agar tidak memberi kebenaran kepada sebarang aktiviti berkempen sempena PRU15 di masjid.

“Saya ingin tegaskan bahawa masjid bukan medan politik, sebaliknya ia merupakan tempat perpaduan.

“Imam juga perlu memastikan hanya penceramah memiliki tauliah mengajar agama daripada Maik dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid seperti yang termaktub di dalam Seksyen 91 Enakmen Maik,” katanya.

Maik pada masa sama hanya membenarkan imam dan khatib undangan yang dilantik sahaja menyampaikan khutbah Jumaat.

“Mimbar masjid merupakan tempat suci dan mulia perlu dijaga daripada menjadi tempat berkempen untuk tujuan kepentingan peribadi oleh kumpulan tertentu,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Justeru, masyarakat Islam perlu terus menjaga masjid yang merupakan institusi dan rumah Allah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan perpecahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button