Berita UtamaDunia

Negara pengganas Israel kembali serang Syria

Dakwa mahu ganggu bekalan udara Iran hantar senjata kepada Syria, Lubnan

DAMSYIK, 1 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Pesawat perang rejim pengganas Israel kembali mengebom sasaran di sekitar ibu kota Syria, Damsyik, pagi ini.

Ini menandakan serangan ketiga seperti itu sejak dua hari yang lalu.

Kementerian Pertahanan Syria memaklumkan, peluru berpandu Israel ditembak pada awal pagi Khamis di tapak berhampiran Damsyik.

“Pada sekitar 12.30 pagi (21:30 GMT), musuh Israel melakukan pencerobohan udara dari arah wilayah Palestin yang diduduki menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik.

“Pertahanan udara Syria telah memintas pencerobohan peluru berpandu dan menjatuhkan sebahagian besar daripadanya. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata Kementerian Pertahanan Syria dalam satu kenyataan.

Serangan itu menyusuli serangan udara serupa pada hari Jumaat dan serangan udara siang hari yang jarang berlaku pada hari Isnin yang telah mencederakan seorang askar, menurut tentera Syria.

Terdahulu, sumber diplomatik di wilayah itu memberitahu Reuters bahawa Israel telah meningkatkan serangan ke atas lapangan terbang Syria, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik.

Tindakan itu dipercayai untuk mengganggu peningkatan penggunaan talian bekalan udara Iran bagi menghantar senjata kepada sekutunya di Syria dan Lubnan, termasuk Hizbullah.

Israel – yang tidak mengulas mengenai serangan itu – melakukan ratusan serangan ke atas sasaran di dalam kawasan yang dikawal kerajaan di Syria sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi jarang mengakui atau membincangkan mengenai operasi berkenaan.

Negara pengganas itu mendakwa ia menyasarkan pangkalan pejuang sekutu Iran dalam kumpulan Syria.

Tehran pula menghantar ribuan pejuang untuk menyokong tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button