Russia rekrut komando Afghanistan perkukuh tentera perang
Ribuan tentera larikan diri elak ditangkap, dihukum mati

MOSCOW, 2 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Tentera Russia mula merekrut komando Afghanistan yang dilatih oleh Amerika Syarikat (AS) bagi memperkukuhkan lagi pasukan ketenteraan dalam peperangan Russia-Ukraine.
Keputusan berkenaan dibuat selepas Presiden Russia, Vladimir Putin mahu menambahkan pasukan tentera dalam peperangan yang masih berlarutan.
Sumber pasukan tentera dan keselamatan Afghanistan berkata, Kor Komando Tentera yang bertempur bersama pasukan AS hampir dua dekad di Afghanistan kini mula bergabung dengan tentera Russia di Ukraine, selepas AS meninggalkan negara tersebut menyebabkan Taliban mengambil alih pentadbiran negara berkenaan.
Pasukan berkenaan yang terdiri daripada 20,000 hingga 30,000 sukarelawan komando tersebut berdepan penganiayaan di tanah air sendiri selepas tentera AS meninggalkan Afghanistan.
Ratusan pegawai kanan berkenaan telah dipindahkan manakala ribuan pasukan tentera cuba melarikan diri ke negara-negara jiran atau bersembunyi bagi mengelak penangkapan dan hukuman mati.
Jurucakap Jabatan Pertahanan memberitahu Fox News Digital berkata, Pentagon telah meneliti laporan berkenaan dan pegawai akan memantau keadaan berkenaan.
AS telah membelanjakan sekitar AS$90 bilion untuk membangunkan pasukan Pertahanan dan keselamatan Afghanistan menurut laporan daripada Ketua Inspektor untuk Pembinaan Semula Afghanistan (SIGAR), Mei lalu.
Rebekah Koffler, yang merupakan bekas pegawai perisikan berkata, situasi mungkin menjadi lebih rumit berikutan Iran juga akan membantu Russia dutnuk merekrut pasukan tentera. – Agensi