Berita Utama

Gagal beri khidmat punca calon PH tukar kawasan?

Buat janji baharu supaya boleh pengaruh pengundi, dakwa Ismail

BANGI, 3 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) menukar beberapa calon kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana gagal memberikan khidmat di tempat mereka.

Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan UMNO yang mengekalkan kawasan sama, kerana menurutnya, wakil rakyat mereka telah memberikan perkhidmatan terbaik di tempat masing-masing.

“Mungkin mereka tak yakin perkhidmatan yang mereka berikan selama ini kepada pengundi menyebabkan mereka ke tempat lain dan buat janji-janji baharu supaya boleh mempengaruhi pengundi di tempat baharu.

“Mereka tak boleh membohongi pengundi sama, kalau tak beri perkhidmatan kepada pengundi di kawasan itu, rakyat tak percaya,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas mengenai kawasan Parlimen Bera, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau telah bertanding sejak tahun 2004 dan tidak berpindah kawasan lain.

“Saya di Bera sejak tahun 2004 saya masih kekal di Bera. Kalau saya Perdana Menteri, mungkin saya boleh minta p‌indah di kawasan selamat.

“Kalau saya tak beri perkhidmatan kepada rakyat di Bera, saya takut, sebab janji saya tak diterima. Tapi hampir semua calon UMNO kekal di tempat sama sebab kita berikan perkhidmatan terbaik.

“Kalau kita janji nak berikan perkhidmatan pun mereka yakin dengan kita,” katanya.

Sebelum ini, bekas naib presiden PKR, Tian Chua memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti.

Menurut Tian Chua, terdapat ramai kalangan ahli parti itu kecewa dengan keputusan dibuat pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon untuk bertanding di beberapa kerusi bagi mendepani pilihan raya.

Antara bekas ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button