Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Imran Khan, penyokong mula berarak ke Islamabad tuntut pilihan raya awal

Perjuangan politik lawan kerajaan diteruskan hingga pentadbiran Sharif setuju dengan tuntutan

LAHORE, 3 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan ribuan penyokong memulakan perarakan dari Lahore ke Islamabad yang telah lama dijanjikan, bagi mencabar kerajaan penggantinya dan menuntut pilihan raya diadakan awal.

Imran menegaskan penyingkirannya dalam undi tidak percaya Parlimen pada April lalu menyalahi undang-undang dan merupakan satu konspirasi oleh lawan politik didalangi oleh Amerika Syarikat (AS) — satu pertuduhan dinafikan oleh Washington dan Perdana Menteri baharu Pakistan, Shahbaz Sharif.

Imran bercadang untuk mengetuai konvoi bermotor itu perlahan-lahan ke utara melalui Grand Trunk Road ke Islamabad, bagi menarik lebih banyak sokongan di sepanjang jalan sebelum memasuki ibu negara minggu depan.

Laluan konvoi itu meliputi jarak 300 kilometer dan dijangka termasuk perhentian yang kerap, dengan ucapan politik serta perhimpunan di bandar dan kawasan di sepanjang perjalanan.

Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan, kebanyakannya menyertai dengan ratusan trak dan kereta, berarak dari bandar timur Lahore, pusat budaya Pakistan mulai semalam. Terdapat juga pengikutnya yang menyertai perarakan dengan berjalan kaki.

Jumlah peserta juga dijangka meningkat di sepanjang perjalanan kerana Imran – bekas bintang kriket dan wira sukan negara yang bertukar menjadi ahli politik Islam – sangat popular bahkan dapat mengumpulkan pengikut ke jalanan.

Bercakap kepada penyokong sebelum bergerak dari Lahore, Imran menyifatkan usaha itu sebagai ‘perarakan aman’ dan mendakwa perjuangan politiknya menentang kerajaan akan diteruskan sehingga pentadbiran Sharif bersetuju untuk mengadakan pilihan raya awal.

Kerajaan telah berulang kali menyatakan pilihan raya akan diadakan seperti yang dijadualkan, pada 2023.

Pada Khamis, tentera Pakistan memberi amaran bahawa walaupun ia adalah hak demokratik Imran untuk mengadakan perhimpunan di Islamabad, tiada siapa akan dibenarkan untuk menggugat kestabilan negara.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu melucutkan kelayakan Imran daripada memegang jawatan awam selama lima tahun, selepas mendapati beliau bersalah menjual hadiah kerajaan secara haram dan menyembunyikan aset sebagai perdana menteri.

Imran telah mencabar keputusan itu di mahkamah, meminta perintah suruhanjaya tersebut digantung.

Pihak berkuasa di Islamabad telah mengerahkan pasukan keselamatan tambahan untuk menghalang sebarang pertempuran atau keganasan sebaik sahaja konvoi Imran tiba di ibu negara Pakistan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button