Berita Utama

GTA berbeza dengan BN-PH, tak tamak tentukan kerusi

Angkat suara rakyat, NGO setaraf dengan parti komponen lain

BANGI, 4 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Gerakan Tanah Air (GTA) tidak pernah bergerak sebagai ‘bumbung’ parti, sebaliknya gagasan ini berperanan menjadi suara rakyat yang mengangkat setiap segmen masyarakat.

Asas itu menjadikan GTA berbeza dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang sekadar berperanan sebagai ‘bumbung’ parti kepada komponen-komponen di bawahnya.

Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, gerakan ini konsisten membawa suara rakyat dan menjadikan Gagasan Bangsa, NGO serta kluster-kluster di bawahnya setaraf dengan parti komponen.

“Kita GTA duduk sebumbung bukan menjadikan Gagasan Bangsa, NGO, kluster-kluster yang ada seperti menjadi ‘daun kari’ atau ‘ajinamoto’ kepada parti.

“Parti yang ada iaitu Pejuang, BERJASA, IMAN dan Putra, kita duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan NGO,” katanya berucap dalam Himpunan Gerakan Tanah Air Negeri Sembilan bersama Negarawan di Senawang, malam tadi.

Beliau yang juga Presiden BERJASA berkata, GTA sentiasa terbuka menawarkan kerusi kepada mana-mana pemimpin persatuan rakyat untuk dijadikan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sila hantar pimpinan persatuan Grab, sila masuk bertanding bawah logo Pejuang, kita sediakan. Petani, pesawah, peladang jika mahu suara mereka berada dalam Parlimen kami di GTA mengalukan.

“GTA sediakan kerusi untuk membawa pimpinan pesawah, peladang dan pemandu teksi silalah bertanding di bawah Pejuang di bawah bumbung GTA,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa GTA tidak tamak dalam menentukan kerusi, apatah lagi menetapkan sesuatu kawasan sebagai milik mana-mana parti tertentu.

“Inilah kelainan yang tiada pada BN dan PH, tetapi ada pada GTA. GTA bukan bumbung parti tapi bumbung suara rakyat.

“Maka, pesawah, peladang, pemandu teksi, peneroka kalau tidak mengundi GTA, maka mereka tidak mengundi persatuan mereka sendiri sedangkan persatuan dibawa bersama untuk kita angkat untuk boleh bersuara di Parlimen bagi pihak mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button