Berita Utama

GTA tidak rasis, tak bermusuh bukan Melayu

Jamin junjung tinggi keluhuran undang-undang

BANGI, 4 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan supaya tidak perlu takut dengan Gerakan Tanah Air (GTA) kerana gagasan ini tidak rasis dan tidak bermusuh dengan bukan Melayu.

Pengerusi Penaja GTA itu berkata, sekiranya GTA diberikan mandat, kaum lain tidak akan dipinggirkan sebaliknya akan diberikan tempat.

“Melayu GTA akan junjung tinggi keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa antara Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sejak Merdeka lagi, Malaysia diperintah oleh kerjaan yang didominasi oleh orang Melayu.

“Masa Merdeka, orang bukan Melayu maju sehingga tertinggal orang Melayu di belakang.

“Walaupun pelbagai usaha dibuat untuk kurangkan jarak antara Melayu dengan kaum lain, hak dan kemajuan perniagaan dan perusahaan orang bukan Melayu tidak terhalang,” katanya.

GTA merangkumi PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (Iman).

Gabungan itu yang ditubuh pada 4 Ogos dan diketuai oleh PEJUANG telah menyatakan pendirian sebelum ini akan meletakkan 120 calon di seluruh negara dengan lebih 30 peratus calon muda.

Kesemua calon juga akan bertanding di atas tiket PEJUANG memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum lagi meluluskan permohonan pendaftaran gerakan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button