Dunia

Kes kematian AKI cetus kebimbangan di Indonesia

Ibu bapa ragui keselamatan 133 ubat sirap lain

JAKARTA, 4 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Kematian lebih 150 kanak-kanak di Indonesia telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan ubat-ubatan yang dijual di negara itu.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Indonesia mengenakan larangan menyeluruh ke atas semua ubat sirap yang disyaki mengandungi dietilena glikol dan etilena glikol.

Kedua-dua bahan itu – yang digunakan untuk antibeku dan aplikasi perindustrian lain – didakwa menjadi punca kepada peningkatan bilangan kes kecederaan buah pinggang akut (AKI) dalam kalangan kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya lima produk dikesan mengandungi paras etilena glikol dan dietilena glikol yang tidak selamat, kata Badan Pengawasan Makanan dan Ubatan Indonesia (BPOM) pada 20 Oktober lalu.

Ubat-ubatan yang terdiri daripada tiga ubat sirap bagi demam dan dua ubat sirap batuk, kemudiannya ditarik balik oleh pengeluar masing-masing.

Walaupun pihak berkuasa Indonesia mengisytiharkan 133 produk ubat sirap lain sebagai selamat untuk dimakan, larangan pada minggu lalu telah menyebabkan ibu bapa berasa cemas.

Kebanyakan ibu bapa mula membuang semua bekalan ubat sirap mereka kerana meragui keselamatannya.

Indonesia mula meneliti ubat sirap yang dijual di negara itu selepas pihak berkuasa Gambia menemukan kaitan antara kes AKI di Afrika dengan empat ubat sirap batuk yang dikeluarkan di India.

Gambia telah melaporkan lebih 70 kematian akibat AKI. Kes di Gambia dan Indonesia bagaimanapun tidak berkaitan kerana empat ubat buatan India itu tiada dalam pasaran negara Asia Tenggara.

Namun, kesan etilena glikol dan dietilena glikol ditemukan dalam pesakit AKI di kedua-dua negara berkenaan.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button