Sedih! Budaya sesat makin menular dan diterima di negara Arab
Pesta hantu Halloween bertentangan amalan Islam

BANGI, 4 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Budaya sesat seperti pesta hantu Halloween yang membawa agenda Barat kini semakin menular dan mendapat tempat di negara Arab.
Lebih malang apabila semakin mendapat sokongan ramai secara terbuka khususnya di Riyadh, ibu negara Arab Saudi.
Walhal, program agama seperti Maulid pula dilarang kerana dianggap bid’ah, luah Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.
Sebelum ini, pesta Halloween diharamkan, namun kini sudah dirayakan di Arab Saudi.
Kelmarin, Boulevard Riyadh City bertukar arena pesta kostum apabila pengunjung dibenarkan masuk ke Boulevard secara percuma dengan syarat mereka memakai pakaian hantu yang menakutkan.
Prof Zainur Rashid mengakui kalau tahun 2018 dahulu, acara sesat sebegini dilarang dan peserta terlibat akan ditangkap dan dipenjara.
“Namun kini, situasi terkini semakin berbeza, pesta sesat tersebut semakin mendapat tempat dan mendapat sokongan yang lebih ramai secara terbuka.
“Lagi menyedihkan beliau menjelaskan apabila sambutan kelahiran Nabi Muhammad dilarang kerana dianggap bid’aah.
“Tetapi sambutan Halloween yang jelas bertentangan dengan amalan Islam dibiarkan tanpa sebarang tindakan tegas.
“Sedih ada, geram pun ada dengan perkembangan sebegini yang berlaku di Arab Saudi,” kongsinya meluahkan rasa.
Bagaimanapun Dr Zainur Rashid berharap supaya kebangkitan pemimpin baharu dapat mengubah sekali gus bersedia membawa perubahan di negara yang letaknya Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Terbaharu, di Itaewon, Korea Selatan, pesta sesat tersebut meragut 149 nyawa manakala lebih 79 yang cedera dalam tragedi, malam tadi.
Angka kematian berkemungkinan akan meningkat berikutan ramai individu cedera kini berada dalam keadaan kritikal.