Artikel Khas

Pilih parti, individu daulatkan agama, bangsa dan negara

Parti-parti Melayu bergaduh, ultra kiasu tersenyum sahaja

TARIKH penamaan calon dan pilihan raya umum (PRU15) telah pun diketahui. Pada 19 November 2022, tarikh keramat, rakyat Malaysia akan memilih sekali lagi. Parti atau individu atau calon manakah akan dipilih?

Mampukah agama, bangsa dan negara diselamatkan dari jatuh ke tangan ultra kiasu dalam sejarah terbesar perpecahan Melayu Islam mendepani PRU15?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, perpecahan Melayu sampai kemuncak, PRU15 tidak lama lagi akan melakarkannya.

Bertambah malang, semua parti ini mendabik dada, ada pengaruh dan boleh menang.

Sedangkan bilangan tidak ramai, 60-40 (mungkin 55-45). Mahu menang macam tanpa sokongan parti Melayu Islam lain. Tidak ada parti yang boleh membentuk kerajaan bersendirian, semua orang tahu.

Inilah nasib Melayu di bumi Melayu yang sering saya perkatakan. Malaysia bukan macam Brunei atau Indonesia, majoriti Islam mereka besar.

Apakah Melayu Islam ini tidak sedar, parti ultra kiasu dan parti bukan Melayu yang lain hanya memerhatikan sahaja, menunggu masa untuk menangguk di air yang keruh bila tiba masanya.

Ternyata, perancangan mereka untuk memecah-belahkan Melayu tercapai. Parti-parti Melayu bergaduh bagaikan nak kiamat, ultra kiasu tersenyum sahaja. Jarum mereka ternyata mengena.

Melihat kepada calon-calon yang telah diumumkan oleh PKR (PH) lebih awal, ternyata, perancangan mereka jauh lebih berstrategi. Seolah-olah bibit-bibit kemenangan sudah berpihak kepada mereka.

Parti-parti BN, PN dan GTA, masih tercari-cari siapakah yang paling layak untuk diketengahkan, mendepani PH (PKR).

Saya tidak mahu lagi menasihati pimpinan parti-parti politik Melayu, seperti mencurah air ke daun keladi. Melayu Islam suka kepada perpecahan, sengaja mencari nahas walaupun sudah tahu bahaya di depan mata.

Untuk kali ini, cukuplah sekadar mengingatkan pengundi (terutama pengundi muda), parti manakah atau siapakah (individu) yang patut dipilih? Apakah panduan untuk memilih? Sekurang-kurangnya pilihan kita nanti tidak dipersoalkan bila dunia berakhir.

Contoh, kalau tidak dapat parti atau calon yang terbaik, semuanya jahat, maka jika jahat vs jahat, maka pilihlah yang kurang jahatnya.

Antara formula lain untuk memilih parti atau calon adalah seperti berikut:

Jika parti atau calon baik vs jahat, sudah tentu pilih yang baik
Jika parti atau calon baik vs baik, cari yang terbaik antara yang baik
Jika parti atau calon jahat vs jahat, carilah yang kurang jahat
Jika semua calon rasuah, cari yang kurang rasuah
Jika calon terpalit kes mahkamah vs calon bersih, pilih yang bersih

Jika parti atau calon yang menghina Islam vs calon hina Islam, pilih yang kurang sedikit penghinaannya. Misalnya, antara DAP vs MCA/Gerakan. Parti mana yang lebih anti Islam?

Jika berlaku pertembungan antara parti Islam dengan parti ultra kiasu.

Parti Islam atau calon Islam vs parti atau calon ultra kiasu, maka pilihlah parti Islam
Parti Islam vs parti Melayu ultra kiasu liberal, pilihlah Islam.

Pertembungan parti sesama bangsa, seagama, maka carilah dalam boleh dipercayai dan tidak terpalit rasuah.

Ultra kiasu bukan Islam vs ultra kiasu bukan Islam, pilih yang kurang ultra kiasu, kurang menentang Islam.

Asasnya mereka yang dipilih mesti neracanya Islam, meskipun yang dipilih itu calon bukan Islam, iaitu dalam kalangan mereka yang dapat menjaga, agama, bangsa dan negara, walaupun parti atau calon tersebut bukan Islam.

Mereka perlu disedarkan bahawa negara ini ada asal-usulnya, kenapa dan mengapa Islam dan penduduk asal dan majoriti perlu dijaga. Semuanya sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Kepada anak muda terutamanya, ingatlah PRU15 adalah kemuncak dalam banyak-banyak pilihan raya. Terasalah pilih, buruk padahnya.

Sudah tentu kita tidak mahu parti atau calon yang liberal dan lupa asal-usul. Berbilang kaum di negara ini tidak terjadi dengan semulajadi. Ada sejarah dan asal-usulnya.

Jika pemimpin tidak tahu semua perkara ini mereka tidak layak dipilih sebagai pemimpin, lebih-lebih lagi untuk diundi dalam pilihan raya.

PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button