Siri 1: Dari klinik ke pentas politik
Peluang berbakti kepada masyarakat dalam skala lebih besar sebagai ahli politik

SAYA pernah ditanya apakah yang menyebabkan saya memberi fokus kepada politik dengan bergerak aktif dalam BERJASA.
Umum mengenali saya sebagai seorang doktor perubatan yang telah berpuluh tahun berkhidmat di beberapa klinik swasta. Setelah bersara sepenuhnya, saya mengambil keputusan untuk bergiat aktif bersama BERJASA.
Sebagai seorang doktor, saya bukan sahaja bertemu pesakit di klinik. Malah setiap kali bencana banjir melanda Kuantan, saya terlibat membantu mangsa banjir sebagai sukarelawan bersama I-Medik. Kami membuat lawatan ke pusat-pusat pindahan banjir dan juga rawatan rumah ke rumah menyantuni mangsa banjir pasca bajir. Setelah menyertai BERJASA, saya meneruskan kerja-kerja sukarelawanan ini bersama Sukarelawan BERJASA.
Melihat kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir di sekitar Kuantan saban tahun, membuatkan dada saya sesak. Setiap tahun kami pergi ke tempat yang sama, bertemu mangsa banjir yang sama. Mendengar keluhan mereka, saya terasa begitu kecewa kerana tidak mampu melakukan apa-apa.
Sebagai doktor, saya mampu merawat beberapa orang pesakit. Tetapi sebagai ahli politik, saya melihat peluang untuk berbakti kepada masyarakat dalam skala yang lebih besar. Itulah Big Why saya.
Usaha pencegahan banjir perlu menjadi fokus dalam pentadbiran negeri dan lebih serius dilaksanakan. Saya berharap pelan tindakan jangka masa panjang yang efektif hasil kerjasama semua pihak mampu direalisasikan demi mengubah nasib mangsa-mangsa banjir ini.
Seperti dalam perubatan, mencegah lebih baik dari merawat. Begitu juga dengan bencana alam yang menguji kita. Kita mungkin tidak mampu memberhentikan hujan. Namun, kita tetap perlu berusaha menambahbaik sistem agar kesan dari hujan itu mampu diminimakan.
Dr Rashidah Abd Rahman
Ketua Wanita BERJASA Pahang