BN, PN umum calon PRU15 serentak malam ini
Pengumuman dijangka saksikan beberapa pemimpin BN digugurkan

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malam ini.
BN bakal membuat pengumuman itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) manakala PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), serentak pada jam 8 malam.
Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan itu bakal menampilkan 70 peratus calon muka baharu pada PRU-15.
Pengumuman calon BN dijangka menjadi tumpuan utama berikutan desas-desus beberapa nama besar akan digugurkan daripada bertanding pada PRU15 meskipun dikatakan calon boleh menang.
Tersenarai dalam nama berkenaan ialah Tan Sri Shahidan Kassim (Arau), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Adham Baba (Tenggara), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol) dan Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).
Sementara itu, PN setakat ini sudah menamakan tiga calonnya yang akan bertanding iaitu Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin di Parlimen Putrajaya, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun di Parlimen Sepang serta timbalannya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin di Parlimen Masjid Tanah.