Berita Utama

Calon disaran buat semakan awal borang penamaan: SPR

Hanya calon, pencadang dan penyokong dibenar masuk ke PPC

BANGI, 6 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabtu ini.

Sementara, orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

Perkara itu diingatkan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak menerusi pemakluman hari penamaan calon PRU15 dan PRK DUN Bugaya, hari ini.

“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding PRU15 dan PRK DUN Bugaya supaya mengisi borang serta membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum 5 November.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran.

“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik supaya mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

Katanya, kertas penamaan calon boleh diserahkan dari jam 9 pagi hingga 10 pagi kepada pegawai pengurus di 222 PPC yang berkenaan oleh calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang serta seorang daripada mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button