Kit Siang kata negara perlukan ‘Ketuanan Malaysia’, bukan ‘Ketuanan Melayu’
Dakwa Ketuanan Melayu bertentangan prinsip asas pembinaan negara Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Veteran parti rasis dan cauvinis DAP, Lim Kit Siang berkata, Malaysia memerlukan ‘Ketuanan Malaysia’ dan bukannya ‘Ketuanan Melayu’ jika negara mahu menjadi sebuah negara majmuk bertaraf dunia.
Beliau mendakwa, Ketuanan Melayu hanyalah satu helah golongan UMNO untuk mengayakan diri mereka secara melampau sementara orang Melayu dan Bumiputera yang lain terus miskin dan ketinggalan.
“Dasar ini bertentangan dengan prinsip asas pembinaan negara Malaysia, di mana setiap rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, adalah sama-sama rakyat Malaysia, bahawa tidak ada beza rakyat kelas pertama, kelas kedua, atau kelas ketiga,” katanya dalam catatan di blog.limkitsiang.com hari ini.
Beliau turut menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang atas kemerosotan Malaysia.
Kit Siang berkata, Malaysia telah turun dari salah satu negara terbaik di dunia menjadi negara kelas kedua berikutan keadaan politik, ekonomi dan pendidikan yang semakin teruk, serta dasar pembinaan negara yang lain.
“Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan kita terus merosot dan bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara.
“Pada 1965, satu ringgit Malaysia bersamaan dengan satu dolar Singapura.
“Hari ini, satu dolar Singapura bersamaan RM3.345. Jika ini bukan tanda kemerosotan Malaysia, saya tidak tahu lagi maksud ‘kemerosotan’,” katanya.
Terdahulu, penyandang kerusi Iskandar Puteri itu mengumumkan untuk bersara daripada dunia politik apabila menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).