Berita Utama

‘Menteri jangan fikir nak kayakan diri sendiri’

Pentingnya pemimpin wibawa, integriti urus negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Pemimpin yang bakal dipilih menerajui pentadbiran negara diingatkan tidak bermatlamat mengayakan diri sendiri semata-mata.

Apatah lagi, sumber kekayaan itu bukan atas usaha sendiri, tetapi hasil daripada dana kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat.

Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, sebagai wakil rakyat atau menteri, haruslah hidup dalam keadaan bersederhana dan sentiasa berasa cukup.

“Ini satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh pemain politik di masa hadapan kerana dana itu bukan duit kita. 

“Kita ambil apa yang hak saja, yang lain adalah kegunaan untuk bangunkan negara. Itu satu sikap yang perlu ada dalam pemerintahan akan datang,” katanya dalam program Dimensi yang disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap tidak jujur dalam pemerintahan antara punca kemajuan negara terbantut, sekali gus pemimpin tidak dapat menyampaikan perkhidmatan dan pembangunan yang kepada rakyat. 

“Kita lihat dari segi pentadbiran kerajaan, prosedur kita sebenarnya sangat bagus. Jadi kalau kita patuh tidak timbul masalah. 

“Saya rasa rata-rata pegawai, penjawat awam bersikap amanah dan berintegriti. Tetapi bila ada campur tangan politik itu lah timbulnya masalah. 

“Kalau dia (pegawai) bertegas dia kena tukar dan sebagainya. Kadang-kadang ada pegawai yang tak sanggup macam itu. Mungkin sebab latar belakang, atau situasi. Sehingga menyebabkan dia terpaksa bertolak ansur. Dalam sebakul telur itu mesti akan ada telur yang busuk,” katanya.

Justeru, bagi menghentikan budaya tidak sihat dalam pentadbiran, Datuk Rosli berharap Gerakan Tanah Air (GTA) akan diberi peluang oleh menguruskan negara berbeza dengan budaya parti-parti sebelum ini. 

“Rakyat sudah muak sehingga ramai tidak mahu mengambil peduli tentang politik. Sedangkan orang politik ini penentu polisi dalam kehidupan kita. 

“Sebab itu kita hantar wakil yang akan membina, membentuk kerajaan. Wakil-wakil yang ada wibawa, ada visi dan tidak mementingkan diri. 

“Ini supaya apa yang kita hasratkan kepada negara iaitu menjadi satu peradaban baru, mengangkat negara di mata dunia akan berlaku. 

“Sekiranya kita masih pada situasi seperti hari ini, orang berkuasa salah guna kuasa, maka kita akan berterusan di bawah pemerintahan dan pemimpin yang tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button