Berita UtamaIstimewa

Rasuah, hutang meningkat jika UMNO kembali berkuasa

Bilion ringgit wang kerajaan untuk bantu rakyat hilang kerana rasuah

BANGI, 6 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa masalah rasuah akan terus berleluasa, bahkan rakyat terpaksa menanggung beban hutang sekiranya UMNO kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Merujuk semula skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau berkata, hutang sebanyak lebih RM32 bilion memerlukan bayaran faedah sahaja RM1.7 bilion setahun, sementara hutang pokok tidak dapat dibayar.

Menurut Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, belum pun selesai hutang 1MDB, satu lagi skandal didedahkan membabitkan kapal tempur pesisir (LCS), yang telah dibayar RM6 bilion namun tiada satu kapal siap.

“Sekarang ini, terdengar ada pihak di dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin mengaut keuntungan untuk diri di dalam projek pembelian Self-Propelled Howitzer (SPH), yang membabitkan RM854 juta.

“Skandal ini terdedah apabila surat arahan Ismail Sabri kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disebarkan yang mengarahkannya untuk berikan kontrak secara rundingan terus kepada satu syarikat yang baru ditubuh tidak sampai dua tahun.

“Tender terhad yang awal, dibatal supaya syarikat yang terpilih ini diberi tawaran tender rundingan terus,” dakwanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dr Mahathir berkata, berbilion ringgit wang kerajaan yang boleh diguna untuk membantu rakyat, memberi biasiswa, mendiri infrastruktur hilang kerana rasuah.

“Jika kerajaan UMNO dibenar terus memerintah lagi rasuah akan terus berleluasa dan rakyat akan menanggung beban hutang.

“Dan UMNO menyertai pilihan raya untuk membebas penyamun dan mengelak penyamun lain dari dikena tindakan undang-undang.

“Mungkin sekarang ini belum terasa akibat hutang negara yang tinggi melainkan dari segi kos sara hidup yang meningkat, kos untuk berniaga dan kos membeli bahan binaan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, pengundi perlu sedar apabila kos meningkat, peniaga dan pemilik perusahaan juga menaikkan harga barangan, sehingga akhirnya hutang negara terus bertambah akibat daripada perbuatan rasuah, sementara kadar inflasi akan dan sudah pun meningkat.

“Nilai wang di tangan rakyat akan menyusut nilai dan kuasa membeli menyusut dan terus menyusut.

“Ketika itu, gurauan bahawa satu guni duit tidak cukup untuk beli segantang beras bukan lagi satu jenaka tetapi satu kenyataan,” katanya.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu mahu terus berjuang menentang rasuah dan menyekat puak ‘penyamun’ daripada kembali memerintah.

“Selagi ada hayat dan upaya saya takkan biarkan penyamun dan perasuah hancurkan negara tanpa ditentang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button