Orang Melayu perlu gerakan besar, parti politik saja tak cukup bela nasib bangsa
GTA sedia kerjasama kaum lain dengan syarat tolak jenayah, tak jadi penyamun

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 7 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Parti politik sahaja tidak cukup untuk membantu nasib bangsa Melayu, justeru apa yang diperlukan adalah sebuah gerakan besar.
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, perlunya satu gerakan orang Melayu supaya bangsa ini dapat menangani masalah-masalah yang mereka hadapi.
Seiring hasrat itu, tertubuhnya Gerakan Tanah Air (GTA) meranggkumi empat parti politik – PEJUANG, PUTRA, BERJASA dan Iman – turut disertai NGO, orang perseorangan, ahli akademik dan juga ahli profesional Melayu.
Beliau berkata, gerakan ini bermatlamat jelas demi kepentingan orang Melayu tetapi pada masa sama tidak mengetepikan kaum lain.
“Apakah ini bermakna kita bermusuh dengan orang bukan Melayu? Kita bukan bermusuh dengan mereka. Malangnya kita terpaksa bermusuh dengan orang Melayu sendiri. Orang Melayu yang sudah menyeleweng, yang jadi penjenayah, penyangak, curi wang, salah guna kuasa.
“Walhal, dulu kita dikenali sebagai Harimau Asia namun kita sudah jatuh menjadi kleptokrasi. Sebuah negara menyamun diperintah oleh penyamun. Itulah kleptokrasi. Jatuhnya negara Malaysia yang dahulunya dihormati dunia.
“Apabila seorang pemimpin Melayu yang lebih utamakan duit daripada khidmat untuk agama, bangsa dan negara menyebabkan negara yang begitu berjaya dahulu, sekarang menjadi negara yang tidak lagi dihormati oleh duni,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pengumuman Calon GTA yang diadakan di Bangi Convention Center, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun GTA adalah gerakan orang Melayu, pihaknya sedar bahawa negara ini berbilang kaum.
Katanya, GTA bersedia untuk bekerjasama dengan kaum lain dengan syarat mereka juga menolak jenayah, tidak menjadi penyamun, pencuri dan perasuah.
“Kita berjuang dalam gerakan bukan kerana nak dapat jawatan, nak jadi Perdana Menteri, nak dapat gaji besar, jadi menteri timbalan menteri. Kita bertanding untuk memperjuangkan nasib rakyat Malaysia khususnya orang Melayu yang rata-rata menghadapi banyak masalah.
“Ya mungkin ada banyak parti berbilang kaum tetapi mereka tak faham masalah orang Melayu. Sebab itu kita kena ada gerakan ini tanpa menidakkan keadilan kepada kaum lain. Inilah hasrat kita,” katanya.
Dr Mahathir berkata, perlembagaan memberi peluang kepada rakyat Malaysia memilih siapa yang akan menjadi pemerintah atau kerajaan di negara ini.
Ini dilakukan pada pilihan raya yang sepatutnya diadakan setiap lima tahun, katanya.
“Tetapi disebabkan pihak yang berkuasa hari ini ingin menyelamatkan diri mereka daripada dibicara, dihukum dan dipenjara, maka mereka nak adakan pilihan raya lebih awal walaupun ada hujan, banjir dan angin kencang.
“Tujuan mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya supaya dengan kemenangan besar nanti mereka boleh selamatkan diri.
“Mereka telah secara jelas menunjukkan bahawa perjuangan mereka bukan untuk pemulihan negara, bukan untuk kebaikan rakyat tetapi hanya untuk selamatkan diri mereka,” katanya.
Malah, penyandang Parlimen Langkawi itu berkata, jika kumpulan ini menang, maka semua penjenayah di kalangan mereka akan dibebaskan.
“Kita tahu ada usaha untuk mengampunkan pemimpin mereka yang lama, yang sudah dipenjara. Segala tuduhan terhadapnya akan digugur, supaya dia bebas bergerak dalam arena politik bahkan menjadi perdana menteri sekali lagi.
“Begitu juga dengan pemimpin lain yang menghadapi kemungkinan dibicara dan dihukum. Inilah perjuangan mereka,” katanya.
Berbeza dengan ‘matlamat’ parti itu, beliau menegaskan, perjuangan GTA bukan untuk menaikkan mana-mana individu bagi mendapatkan jawatan semata-mata
“Kita bukan bertanding sebab nak orang itu, orang ini jadi perdana menteri. Tetapi untuk selamatkan agama, bangsa dan negara. Inilah gerakan tanah air,” katanya.