Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tanding lebih 120 kerusi, GTA mampu bentuk kerajaan

Tak keluar mengundi seolah beri kemenangan pada UMNO

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

BANGI, 7 Rabiulakhir 1444, Rabu – “Gerakan Tanah Air (GTA) mampu menubuhkan kerajaan kerana kita akan bertanding lebih 120 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” demikian jelas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Penaja GTA itu berkata, gerakan itu hanya memerlukan 112 kerusi untuk memperoleh kemenangan sekali gus membolehkannya membentuk kerajaan.

“Mungkin kita tak dapat semuanya, tapi kemungkinan kita menang memang ada. Ianya bergantung pada kita. Apabila kita tentukan calon, semua daripada kita akan menyokong calon tersebut. 

“Sudah tentu akan ada mereka yang tidak dicalonkan, tetapi walaupun mereka tidak dicalon, mereka tidak harus kecewa. 

“Sebaliknya sokonglah calon yang dipilih. Ini akan menentukan menang kalah parti kita,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa yang penting dalam menghadapi pilihan raya adalah memberikan kemenangan kepada parti, walaupun tidak menjadi calon. 

“Kalau kita tak dipilih sekali pun kita akan setia kepada gerakan. Ini bukan sahaja  calon, tetapi rakan-rakan mereka, yang mungkin berasa kecewa. Tiap seorang daripada kita, sama ada ahli atau penyokong, kita akan menjayakan calon yang dipilih. 

“Walaupun dia tidak sebulu dengan kita, tidak bersama dengan kita tetapi yang penting dalam pilihan raya adalah kemenangan bagi parti. 

“Untuk itu kita perlu menang di 112 kawasan yang kita tandingi. Inilah kemenangan,” katanya.

Pemimpin berusia 97 tahun itu  berkata, perkara ini perlu disampaikan kepada pengundi yang masih belum mengenali dengan lebih dekat GTA.

“Ramai pengundi yang tidak bersama dengan kita. Tetapi kalau kita beri keterangan tentang hasrat dan perjuangan gerakan ini, saya yakin mereka akan sokong dan undi Gerakan Tanah Air,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap undi adalah penting dan pengundi tidak wajar melepaskan hak masing-masing untuk memilih pemimpin pada pilihan raya.

Lebih malang, perbuatan tidak mengundi itu pula bakal membawa kepada kemenangan parti yang dibenci rakyat. 

“Kalau pengundi yang tidak keluar mengundi, ini sama dengan menyokong parti yang dibenci oleh mereka. Parti itu akan dapat kemenangan. Kerana parti-parti itu akan menggunakan wang untuk membeli undi dalam pilihan raya. 

“Mereka yang tidak suka kepada parti kerajaan, UMNO, jika tidak mengundi maka UMNO akan menang. Tak mengundi bermakna sokong UMNO sebenarnya. Sebab itu kita perlu memberi penjelasan kepada pengundi.

“Mereka tidak ada pilihan selain daripada keluar mengundi beramai-ramai dan menyokong GTA. Inilah usaha kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button