Berita Utama

Zahid beri amaran jangan sabotaj parti

Elak berlaku pisang berbuah kali daripada tingkah laku yang mudaratkan BN

BANGI, 7 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Barisan Nasional (BN) mendakwa partinya akan ketinggalan sekiranya tidak membuat perubahan dengan meletakkan orang muda selain terus mengekalkan orang lama sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan meletakkan muka baharu adalah sebahagian peremajaan parti selain memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat.

“Semua pihak perlu menerima hakikat pengundi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal keluar mengundi pada PRU15 kali ini.

“Kita perlu berubah. Dalam politik ‘No one person is indispensable, but all people are important’ iaitu yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN.

“Manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan memilih calon bukan satu perkara mudah apabila banyak pertimbangan perlu diambil kira bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan UMNO dan BN.

Justeru, beliau mengingatkan pemimpin yang tidak menjadi calon agar tidak sabotaj parti termasuk menutup bilik gerakan kerana kecewa.

Katanya, ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.

“Jangan pula cetuskan rasa tidak berpuas hati, marah, protes, cah keting, sabotaj malah cuba tutup bilik gerakan, memberikan kenyataan yang memburukkan reputasi parti mereka sendiri,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengumumkan calon-calon BN dalam PRU15 serta terdapat nama-nama besar UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, masing-masing digugurkan sebagai calon di Parlimen Ketereh dan Arau.

Dilaporkan, Perikatan Nasional (PN) Perlis mengesahkan pihaknya akan memberi laluan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim bertanding mewakili pakatan tersebut pada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button