GTA yakin mampu ganti UMNO
Malaysia akan kembali jadi Harimau Asia, dihormati dan disanjung tinggi

BANGI, 8 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) menyatakan keyakinan mampu untuk menggantikan UMNO sebagai parti atau gerakan politik orang Melayu.
Ini kerana, GTA terdiri daripada orang Melayu yang berkebolehan dan bersemangat kebangsaan Melayu dan Malaysia yang sayang kepada negara dan agama, demikian tegas Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“GTA akan lawan UMNO supaya Malaysia tidak akan diperintah oleh penjenayah yang telah rosak parti, pemerintahan dan negara.
“Pendek kata GTA bertujuan menukar kerajaan penjenayah kepada kerajaan yang bersih, cekap dan beramanah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memberi jamainan bahawa pemimpin dan calon GTA bebas dari perlakuan jenayah, tidak menghadapi tuduhan dalam mahkamah danbersih.
Malah, tegas beliau GTA turut berikrar untuk memulihkan semula politik kestabilan, ekonomi yang sihat dan kesejahteraan sosial.
“Malaysia akan kembali menjadi negara Harimau Asia, di mana orang Melayu akan dihormati dan disanjung tinggi.
“Inilah janji GTA, Gerakan Tanah Air kepada Malaysia dan rakyatnya,” ujarnya.
Semalam, GTA mengumumkan akan bertanding di 121 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antara nama terkenal yang dicalonkan GTA ialah pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri serta pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof.
Ahmad Idham dan Eizlan, daripada NGO, Gagasan Bangsa, masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket PEJUANG.
Selain dua selebriti itu, pelakon, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.