
PETALING JAYA, 8 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman, adalah calon Menteri Besar Perak sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.
“Ya, ya…Zainal Azman adalah calon MB bagi PH. Itu adalah perancangannya,” kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.
Zainal Azman, yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Perak, dijangka bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.
PKR pernah memenangi kerusi Kuala Sepetang pada pilihan raya umum pada 2008 dan 2013, namun kalah kepada UMNO yang merampas semula kerusi itu pada PRU14. – Bernama
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.