Berita Utama

PRU15: Ahmad Idham mahu Port Dickson jadi Hab Pendidikan Khas

Janji galas tanggungjawab dengan penuh kesungguhan

BANGI, 8 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Calon Gerakan Tanah Air (GTA) kerusi Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berhasrat menjadikan kawasan yang ditandinginya sebagai Hab Pendidikan Khas dalam perjuangan memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain itu, pemantapan aktiviti pelancongan, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam di lokasi percutian popular itu turut menjadi agenda perjuangan beliau.

Pada masa sama, kestabilan ekonomi juga menjadi fokus utamanya kerana ia adalah penyelesaian permasalahan utama di kawasan itu.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Idham bersyukur dikurniakan segala nikmat termasuk terpilih menjadi calon GTA pada PRU15.

Pelakon dan pengarah terkenal itu berkata, beliau sentiasa berpegang kepada bicara gerak kerja lebih bermakna berbanding hanya ungkapan kata-kata.

“Saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan untuk meneruskan gerak kerja yang sudah saya mulakan dengan lebih luas.

“Saya bukan hanya memfokuskan kepada komuniti istimewa semata-mata, sebaliknya menyasar rakyat dan penduduk Port Dickson secara keseluruhan.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk melaksanakan amanah ini dengan baik kepada masyarakat Port Dickson,” katanya.

Semalam, Ahmad Idham diumumkan sebagai calon GTA pada PRU15.

Beliau daripada badan bukan kerajaan (NGO) Gagasan Bangsa akan bertanding di Parlimen Port Dickson atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Selain selebriti itu, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof dan Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando masing-masing dicalonkan bagi Parlimen Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

Ahmad Idham bakal menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk P Kamalanathan, Datuk Seri Aminuddin Harun dari Pakatan Harapan (PH) dan Rafiei Mustapha dari Perikatan Nasional (PN).

Parti Warisan juga dilaporkan berhasrat meletakkan calon di kerusi Port Dickson.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button