Berita Utama

PRU15: Semua calon baharu, lama perlu isytihar harta secara sukarela

Supaya rakyat tahu calon kaya sebelum masuk politik atau lepas dapat jawatan

BANGI, 8 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Tidak kira muka baharu ataupun lama, semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar tampil mengisytiharkan harta secara sukarela.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim menyuarakan saranan itu selepas calon Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta, semalam.

Beliau berpandangan, usaha itu perlu dilakukan supaya rakyat dapat mengenal pasti kekayaan ahli politik masing-masing.

“Semua calon baharu dan ahli politik lama yang akan bertanding dalam PRU15 wajar mengisytiharkan harta secara sukarela seperti yang dilakukan Rafizi Ramli.

“Supaya rakyat tahu sama ada calon-calon baharu ini benar-benar kaya sebelum masuk politik atau kaya sebab jawatan dan penglibatan dalam dunia politik.

“Supaya rakyat faham sama ada ahli-ahli politik lama ini bertambah kaya atau miskin apabila berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengambil contoh tindakan Timbalan Presiden PKR itu juga, Muhammad Lukman berkata, dengan aset dimiliki Rafizi sekarang, rakyat dapat menilai jumlah hartanya sekiranya berjaya menjadi Ahli Parlimen nanti.

“Contohnya, Rafizi ada harta RM16 juta sekarang. Jika dia menang dan jadi Ahli Parlimen, selepas empat tahun kita lihat semula berapa jumlah hartanya, kita boleh nilai ‘keuntungan’ jadi ahli politik Malaysia,” katanya.

Pengisytiharan harta Rafizi dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada PRU15 untuk berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya, iaitu melebihi RM16 juta, merupakan pelaburan saham dalam syarikat analitik yang diasaskannya, Invoke Sdn Bhd, selain pendapatan bulanan sebanyak RM23,500.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button