Calon GTA Alor Gajah yakin beri saingan sengit pada lawan
Pengundi jangan terpengaruh dengan gula-gula parti politik

BANGI, 9 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Gerakan Tanah Air (GTA) yakin mampu memberi saingan yang sengit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ini kerana gerakan itu bukan hanya gabungan ahli dan parti politik semata-mata, malah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar dalam bidang profesional.
Tidak setakat itu, GTA juga menawarkan tujuh ciri politik baharu termasuk kepimpinan yang bebas daripada cengkaman ‘warlord’, menjadikan Perlembagaan sebagai tiang seri, mengangkat agenda memperkasa orang Melayu dan Bumiputera.
Gerakan itu juga menekankan kepentingan pelbagai kaum berpaksikan kepentingan negara, pemimpin bermaruah dan setia kepada agama dan negara, bangga dengan identiti watan dan mengamalkan tingkah laku beradab serta matang dalam usaha capai cita-cita politik.
Calon GTA Parlimen Alor Gajah, Muhammad Nazriq Abdul Rahman berkata, dengan kelayakan yang ada pada setiap calon, pihaknya yakin boleh memberi saingan yang sengit.
“Insya-Allah kami di GTA akan tawarkan agenda dan objektif yang lebih besar untuk jangka masa panjang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi – khususnya belia – supaya tidak termakan dengan ‘gula-gula’ yang ditawarkan mana-mana parti politik menjelang PRU15.
“Sebagai pengundi terutamanya pengundi muda, jangan mudah digula-gulakan dengan ‘hadiah’ segera.
“Jadilah pengundi yang bijak dalam menentukan pimpinan dan tidak mengikut sentimen populis semata-mata,” katanya.