Berita Utama

Hapus tol? Inilah cara PH, terus menipu

Masih gagal cari fitnah dan propaganda bohong

BANGI, 9 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai dua cara untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu dengan memfitnah dan berjanji.

Dakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, pembangkang masih gagal mencari fitnah dan propaganda bohong yang berkesan, justeru pada saat-saat akhir ini mereka menggunakan cara kedua iaitu berjanji.

Katanya, PH masih lagi berjanji akan menghapuskan semua tol jika PH menang PRU15.

“Tetapi dalam manifesto PRU15, mereka janji untuk kurangkan tol secara berperingkat sahaja. Pengurangan tol 18 peratus masa PH memerintah dijadikan kebanggaan.

“Tetapi PH bohong. PH sembunyi fakta. Walaupun kadar tol turun 18 peratus tetapi tempoh konsensi tol yang patut tamat pada 2038 hanya akan berakhir pada 2058.

“Bermakna tambah 20 tahun lagi. Itulah cara PH. Terus menipu,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU15.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan selepas menang PRU14 pada 2018, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18 peratus.

Menurut portal berita FMT yang memetik China Press, Guan Eng menegaskan PH ‘boleh memansuhkan tol’ di lebuh raya jika diberi tempoh mentadbir selama lima tahun lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button