Dunia

Indonesia mungkin heret 2 firma farmaseutikal ke mahkamah

Haram sementara penjualan beberapa ubat berasaskan sirap

JAKARTA, 28 Rabiulawal 1444H, Selasa – Agensi makanan dan ubat-ubatan (BPOM) Indonesia tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan tindakan undang-undang jenayah terhadap dua firma farmaseutikal yang menghasilkan produk dikaitkan dengan kes kecederaan buah pinggang akut (AKI).

Di tengah-tengah peningkatan kes dan kematian dalam kalangan kanak-kanak tahun ini, pihak berkuasa negara itu telah mengharamkan sementara penjualan beberapa ubat berasaskan sirap.

Bahkan, Indonesia turut mengenal pasti kewujudan beberapa produk etilena glikol serta dietilena glikol sebagai kemungkinan faktor kematian 141 kanak-kanak yang kebanyakannya berusia lima tahun ke bawah.

Ketua BPOM, Penny K Lukito berkata, agensi itu akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kedua-dua firma itu bagi tujuan prosiding jenayah berhubung komposisi produk mereka.

“Terdapat tanda-tanda dalam produk mereka… (kepekatan) yang sangat berlebihan, toksik dan disyaki menyebabkan kecederaan buah pinggang,” kata Penny dalam sidang akhbar.

Pihak berkuasa memaklumkan, kes mengenai kecederaan buah pinggang akut meningkat dari Ogos hingga Oktober.

Ditanya mengenai peningkatan kes itu baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, kemungkinan besar disebabkan oleh perubahan dalam bahan mentah ubat.

Kerajaan mempunyai data mengenai bahan import bahan mentah baru-baru ini dan akan dikongsi kepada umum kelak.

Indonesia mengimport kebanyakan bahan mentahnya untuk ubat-ubatan dari India dan China, menurut kementerian kesihatan.

Negara itu sedang mengkaji peningkatan kes AKI melalui rundingan dengan pakar pediatrik dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengikut corak yang sama di Gambia – menyaksikan sekurang-kurangnya 70 kematian kanak-kanak AKI berkaitan dengan ubat sirap.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button