Berita UtamaDunia

UK tak mahu pindah kedutaan di Israel ke Baitulmaqdis

Kerajaan digesa sahkan sokongan terhadap hak pelarian Palestin

LONDON, 9 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Kerajaan Britain yang diketuai Perdana Menteri, Rishi Sunak menolak pemindahan Kedutaan UK di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Idea sedemikian telah disuarakan bekas Perdana Menteri, Liz Truss ketika pertandingan kepimpinan Tory dan semakan ke atas perkara itu diarahkan oleh beliau selepas menjadi perdana menteri.

Jurucakap kerajaan berkata, tiada hasrat untuk menukar lokasi kedutaan negara itu buat masa ini.

Susulan itu, Duta Palestin ke UK, Husam Zomlot merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan, parti pembangkang, pemimpin agama, aktivis dan orang ramai kerana usaha mereka telah membantu memastikan UK selaras dengan undang-undang antarabangsa mengenai perkara berkenaan.

“Persoalan mengenai lokasi Kedutaan UK tidak sepatutnya ditanya sejak awal.

“Terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk keamanan di Timur Tengah dan menebus ketidakadilan bersejarah yang disebabkan oleh Deklarasi Balfour, 105 tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, Husam turut menggesa kerajaan British memainkan peranan aktif, mengiktiraf negara Palestin dan mengesahkan sokongan UK terhadap hak pelarian Palestin.

Selain itu, mengharamkan semua barangan dan produk haram daripada penempatan di wilayah yang diduduki dan syarikat sekatan yang bekerja di dalamnya dan mengaut keuntungan daripada mereka.

Baitulmaqdis kekal di tengah-tengah konflik Israel-Palestin, dengan rakyat Palestin berharap Baitulmaqdis Timur – yang kini diduduki oleh negara pengganas – akhirnya boleh menjadi ibu kota negara Palestin masa depan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button