Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Annuar Salleh tak gentar, optimis boleh tawan Bangi

Yakin mampu beri saingan sengit pada 7 calon lain

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Meskipun berdepan pertembungan lapan penjuru, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di P102 Bangi yakin mampu memberikan persaingan sengit di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Annuar Salleh, 56, berkata beliau sentiasa terbuka dengan penyertaan tujuh lagi calon lain di kerusi berkenaan, termasuk tiga daripada Bebas.

Menurutnya, fokus Pejuang kini tertumpu untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Bangi terjaga, termasuk menyelesaikan isu dan masalah setempat.

“Kami di dalam Pejuang telah merangka pelbagai program antaranya adalah untuk bertemu dengan seluruh lapisan pengundi, sama ada secara fizikal atau mendekati mereka di media sosial.

“Kita dapati hampir 50 peratus pengundi baharu adalah dalam kalangan belia dan golongan muda, di mana mereka ini aktif di TikTok dan platform media sosial lain. Maka kita memberikan tumpuan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Ismaweb.net selepas pengumuman calon di pusat penamaan calon di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat, di sini hari ini.

Mengulas proses penamaan calon pagi tadi, Annuar berharap pilihan raya umum kali ini berjalan lancar serta membudayakan politik bersih dan matang dalam kalangan calon yang bertanding.

“Saya juga mengharapkan peratusan pengundian yang tinggi dari kalangan anak muda bagi membuktikan kepimpinan wibawa dan baharu yang mereka mahukan serta pembentukan kerajaan yang didominasi wakil-wakil rakyat berpandangan jauh dan mementingkan agenda nasional.

“Saya yakin kita boleh mengubah kepimpinan sedia ada di Malaysia kepada kepimpinan yang lebih amanah, berprinsip dan sanggup berkorban untuk kepentingan rakyat dengan menjadikan syurga sebagai matlamat, bukan dunia sebagai imbalan,” katanya.

Kerusi Parlimen Bangi menyaksikan pertembungan antara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan tiga calon Bebas.

Pertandingan lapan penjuru ini turut membabitkan Datuk Ho Hee Lee calon (BN), Muhammad Nazrul Hakim Md Hakim (PN), Syahredzan Johan (PH), Chee Chee Meng (PRM) dan tiga calon Bebas iaitu M Suthan Mookaiah, Muhammad Fauzi Hasim serta Prof Jamal Hisham Hashim. 

Berita berkaitan;

Pertembungan 8 penjuru di Bangi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button